PEKEMA sasar kenderaan import terpakai 50,000 unit setahun - Utusan Malaysia

PEKEMA sasar kenderaan import terpakai 50,000 unit setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menaikkan kenderaan import terpakai daripada 35,000 unit kepada 50,000 unit setahun.

Menurut Presiden PEKEMA, Datuk Hj. Mohamed Nazari Bin Noordin, hasrat itu termasuk dengan mengekalkan fi import sebanyak RM10,000 setiap unit.

Katanya, peningkatan kenderaan import akan membawa faedah kepada semua pihak yang terlibat dalam industri kenderaan kereta import dan industri hiliran dan ia diyakini akan dapat menambah penjanaan ekonomi melebihi dua bilion ringgit setiap tahun hasil industri kenderaan import.

“Selain itu, ia juga mendatangkan hasil fee import kenderaan kepada Miti dan pihak JKDM pula akan dapat kutipan hasil daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan.

“ Ia juga akan menjana pendapatan kepada industri lain yang terlibat seperti perbankan, insurans, jaminan kenderaan dan lain-lain,”katanya.

Selain itu, Nazari menjelaskan,dasar kerajaan yang memperkenalkan Dasar AP Terbuka telah meningkatkan jumlah pemegang AP daripada 100 syarikat kepada 300 syarikat sehingga kini.

Oleh itu, katanya, peruntukan AP sebanyak 35,000 setahun adalah tidak mencukupi untuk digunapakai oleh keseluruhan ahli PEKEMA.

“Saya amatlah berharap agar MITI dapat meluluskan permohonan untuk menambahkan kenderaan import terpakai sebanyak 15,000 unit kepada 50,000 unit setahun agar dapat memberi ruang yang lebih besar bagi pertumbuhan dalam pasaran kenderaan negara kereta.

“Dari segi peratusan jualan ianya hanya 6.8% daripada TIV sebanyak 725,000 oleh MAA untuk tahun 2023. Selain daripada itu tidak semua kenderaan ahli PEKEMA dapat dijual pada tahun kemasukan kenderaan tersebut,”katanya.

Datuk Nazari berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA KE-42 yang berlangsung di KLCC, di sini, hari ini.

Sementara itu, Datuk Hj. Zainuddin Bin Abd Rahman yang telah memimpin PEKEMA lebih dari satu dekad mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada jawatan Presiden PEKEMA.

Keputusan itu dibuat demi membuka peluang kepada pemimpin baharu untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan dalam persatuan ini.

“Saya telah menjadi Presiden selama 14 tahun dan 19 tahun sebagai Timbalan Presiden, dalam PEKEMA sahaja sudah 38 tahun.

“Sudah cukup untuk saya berkhidmat, dan saya bersara dalam PEKEMA ketika persatuan ini berada di tahap yang baik.Saya lepaskan jawatan kepada Timbalan saya untuk mengambil tanggung jawab ini” katanya.

Selain penstrukturan kepimpinan, PEKEMA juga telah melantik muka-muka baharu untuk jawatan Timbalan Presiden dan ahli jawatankuasa PEKEMA pada Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA KE-42 tahun ini.

Dalam pada itu, atas dasar kemanusiaan dan kepekaan terhadap nasib rakyat Palestin, PEKEMA telah menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Sumbangan tersebut dibuat sebagai tanda solidariti serta semangat kemanusiaan PEKEMA terhadap perjuangan rakyat Palestin, selain membantu mengurangkan penderitaan mereka yang terkesan akibat konflik di Semenanjung Gaza.

“Ia juga merupakan manifestasi sokongan dan solidariti PEKEMA bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam usaha membantu misi kemanusiaan atas dasar ihsan, sekali gus memupuk semangat Malaysia MADANI yang menyokong keamanan sejagat,” ujarnya.

Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Yang Berhormat Mulia Senator, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang turut merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA Ke-42, pada hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN