SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menambah baik urus tadbir sektor pelaburan dan perdagangan di negeri ini.
Ia termasuk dasar Speed Selangor yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi mempercepat pembangunan industri dan pelaburan-pelaburan di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama tersebut akan memperkukuhkan lagi perindustrian dan pelaburan di negeri ini selain memperkemas beberapa perkara berkaitan urus tadbir.
“Kita juga berkongsi dari segi inisiatif mencari strategi baharu, pembinaan kawasan industri. Sebagai contoh, ada beberapa perancangan yang masih di peringkat cadangan. Jadi, itu akan membantu memperkukuh ekonomi terutama bidang pelaburan dan perindustrian di Selangor.
“Ia termasuk juga dengan pembinaan pelabuhan ketiga (di Pulau Carey). Tetapi masih terlalu awal, kita perlu hantar (kertas kerja) kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan sebagainya yang perlu diteliti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor 2025, hari ini.
Jelasnya, hasil kerjasama tersebut bakal memberi lonjakan penting untuk disemak dan dipadankan dengan agenda dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) selain perancangan-perancangan yang turut dirangka menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS2).
“RS2 akan dibentang pada sidang kedua (Dewan Undangan Negeri) pada Jun atau Julai tahun depan. Tengok pada kesesuaian masa,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menyatakan beliau menyambut baik cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan di Selangor.
“Saya percaya cadangan yang disebut oleh Menteri Besar terutama dari segi perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri sememangnya memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










