PARLIMEN: Malaysia tidak akan putuskan ratifikasi atau tolak WHO

PARLIMEN: Malaysia tidak akan putuskan ratifikasi atau tolak WHO CA+, IHR 2005 sebelum 1 Disember ini 

ZALIHA MUSTAPHA menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini. GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memutuskan pendirian meratifikasi atau menolak Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) sebelum 1 Disember ini. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustapha berkata, sesi rundingan dengan Intergovernmental Negotiating Body (INB) untuk menghasilkan instrumen antarabangsa dikenali sebagai WHO CA+ dan Working Group on Amendments to the International Health Regulations (WGIHR) untuk pindaan IHR 2005, masih berjalan. 

Katanya, proses rundingan itu akan terus berjalan sehingga semua rundingan selesai yang dijangka pada April 2024. 

“Bagi WHO CA+, berdasarkan Artikel 19 Perlembagaan WHO, negara anggota diberi peluang menyertai instrumen baharu ini (jangkaan pada Mei 2024). Namun, saya tegaskan, rundingan bagi penyediaan dokumen INB WHO CA+ masih di peringkat awal. 

“Oleh itu, tiada keputusan akan diberi sehingga segalanya dipersetujui,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir [PN-Setiu] yang meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung isu WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 yang perlu diputuskan sama ada diratifikasi atau ditolak sebelum 1 Disember 2023. 

Mengulas lanjut, Zaliha mengulangi pendirian kerajaan bahawa kedaulatan dan autonomi negara tidak boleh dicabuli mana-mana pihak. 

Katanya, sebarang penggubalan undang-undang antarabangsa mesti tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memelihara kuasa Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong dan tidak melanggar hak asasi kebebasan rakyat.

“Malaysia mengiktiraf keperluan membangunkan kapasiti, kerjasama  kukuh dan koordinasi dalam kalangan industri untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi wabak pada masa akan datang.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan sumber-sumber kesihatan adalah adil dan boleh diakses di peringkat global, menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan lebih kukuh,” katanya. 

Sementara itu, katanya, di peringkat kebangsaan, KKM sedang menjalankan proses libat urus dengan 12 agensi dan kementerian bagi meneliti WHO CA+ dan pindaan IHR 2005. 

Selain itu, di peringkat antarabangsa, Malaysia berada dalam kumpulan yang memperjuang hak kesamarataan bersama 28 negara anggota lain. 

Katanya, kumpulan itu termasuk Malaysia akan sekali lagi menyuarakan pendirian di Mesyuarat WHO CA+ ke-7 yang akan diadakan pada 6 sehingga 10 November 2023 ini. 

“Kumpulan ini menegaskan pendirian memperjuangkan instrumen baharu yang adil, seimbang dan teguh. Ini berdasarkan pengalaman dari pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak kematian, kerugian ekonomi.

“…Gangguan pergerakan dan ketidakadilan dalam pengedaran dan pengagihan produk perubatan seperti vaksin, peralatan diagnostik dan ubat-ubatan,” katanya. 

Pada 26 September lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut kerajaan membantah WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 kerana dikhuatiri mengancam kedaulatan negara.

Katanya, jika usaha itu gagal, WHO boleh mengambil alih pemerintahan sekali gus mengetepikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan pengisytiharan pandemik serta darurat.

Pihaknya menyerahkan memorandum bantahan terhadap WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 kepada Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada hari sama. 

Pada 27 September lalu, Zaliha bagaimanapun menegaskan, kerajaan akan memastikan kedaulatan negara sentiasa menjadi keutamaan dalam rundingan WHO CA+ dan pindaan IHR 2005. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pendirian Malaysia dalam rundingan WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 jelas menjaga kepentingan kesihatan awam selaras dengan undang-undang dan kedaulatan negara.

Katanya, proses rundingan WHO CA+ dan IHR 2005 itu tidak terhad kepada bidang kesihatan awam sahaja malah, meliputi bidang lain berkaitan seperti perdagangan, persekitaran, geopolitik dan sosioekonomi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya