Palestin: Sukarelawan guna kereta keldai hantar barang keperluan

Palestin: Sukarelawan guna kereta keldai hantar barang keperluan

PETUGAS MCM Palestin menghantar barang keperluan memasak menggunakan kereta keldai. - IHSAN MCM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukarelawan di Semenanjung Gaza terpaksa menggunakan kereta keldai untuk menghantar bantuan barangan keperluan terutama bahan-bahan mentah kepada penduduk Palestin yang menunggu sumbangan masyarakat luar.

Bahan mentah yang diangkut menggunakan kereta keldai itu meliputi bahan seperti beras, ayam, minyak atau barangan keperluan asas dalam kuantiti yang banyak untuk dimasak kepada penduduk.

Ketiadaan bahan api susulan sekatan Israel juga menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada kayu api untuk menyediakan makanan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd. Johari Ismail berkata, petugas MCM Palestin terpaksa menggunakan apa yang ada untuk terus membantu penduduk Palestin yang mengharapkan ihsan masyarakat luar.

Menurut beliau, walaupun bahan mentah masih boleh ditemukan di Semenanjung Gaza, kos bahan itu sangat tinggi, justeru, beliau mengharapkan bantuan yang dihantar sebelum ini dapat segera masuk ke wilayah berkenaan.

“Semalam, Pengarah MCM Palestin berkongsikan rakaman video dia hantar barangan keperluan untuk menyediakan makanan untuk mangsa peperangan dengan menaiki kereta keldai sebab bahan api sudah tidak ada…masak pun terpaksa guna kayu api.

“Mereka terpaksa menggunakan kereta keldai sebab sekali masak adalah untuk keperluan yang terlampau besar…ada satu masa itu memasak di tempat perlindungan yang berjumlah 2,000 orang.

“Alhamdulillah, setakat ini, bahan mentah masih boleh didapati lagi, cuma kosnya sangat tinggi,” kongsinya ketika dihubungi semalam.

Media sebelum ini melaporkan, hanya kira-kira 84 lori bantuan memasuki Semenanjung Gaza sejak konflik bermula berbanding purata sebanyak 500 lori sehari sebelum perang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa penduduk Palestin terdesak untuk mendapatkan makanan selain bantuan tidak mencukupi untuk memenuhi ‘keperluan kemanusiaan’.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak gencatan senjata dalam perang ke atas Palestin dan memaklumkan operasi darat tentera Israel di Gaza memasuki ‘peringkat kedua’.

Setakat ini, seramai 9,061 penduduk Palestin dilaporkan terkorban dalam serangan berterusan tentera rejim Israel sejak 7 Oktober lalu.

Mangsa termasuk 3,760 kanak-kanak, 2,326 wanita manakala 32,000 yang lain cedera.

Mengulas lanjut, Mohd. Johari berkata, tiga treler membawa bantuan perubatan, makanan dan minuman yang sebahagiannya disumbangkan rakyat Malaysia, belum dapat memasuki wilayah Gaza.

Jelas beliau, bantuan yang dihantar dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Mesir dan gerakan kemanusiaan antarabangsa, ‘Miles of Smiles’ itu kini dilaporkan sudah berada di El-Arish yang terletak 45 kilometer dari sempadan Rafah yang menjadi tempat menghimpunkan kebanyakan lori bantuan dari serata tempat.

“Kira-kira lima hari sudah berada di El-Arish dan sedang menanti pelepasan untuk masuk ke Gaza, cuma, kita tidak boleh beri jaminan bila dapat masuk ke sana dan kita pun tidak dapat sebarang jaminan.

“Semasa di Mesir, PBSM Mesir memaklumkan mereka sendiri tidak dapat jaminan sebab Kerajaan Mesir sekarang ini setiap minit berubah keputusan dan buat keputusan mengejut.

“Itu yang jadi masalah itu. Apabila negara jiran dikawal oleh Amerika Syarikat, jadi Mesir sendiri pun tidak boleh buat keputusan.

“Dari sudut keselamatan pun Kerajaan Mesir tidak boleh bagi jaminan. Di Rafah mungkin ada jaminan, tetapi Israel boleh bom (lori bantuan) bila-bila masa apabila sudah masuk ke Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN