SEREMBAN: Pakaian tradisional masyarakat India iaitu kurtis dilihat paling dicari-cari golongan wanita bagi mereka menyambut perayaan Deepavali bagi tahun ini.
Seorang penjual pakaian di Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023, P. Sharveshwari Nair, 28, berkata, pakaian tersebut paling mendapat sambutan pengunjung di gerainya sejak dibuka pada 2 November lalu.
“Baju kurtis panjang ini memang merupakan jualan yang paling laris setakat ini, pakaian ini kami bawa khas dari India, coraknya yang pelbagai dan selesa menjadikan ia menjadi pilihan golongan wanita,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak penganjuran karnival tersebut di Taman AST, di sini semalam.
Sebanyak 150 gerai yang menjual pelbagai barangan keperluan sempena Deepavali seperti pakaian, kuih-kuih dan perhiasan menyertai karnival yang buat julung kali diadakan di lokasi tersebut.
Sharveshwari dalam pada itu memberitahu, warna hijau dilihatnya sering menjadi pilihan pembeli pada tahun ini.
“Saya perhatikan tahun ini ramai yang memilih warna hijau sebagai tema warna pakaian mereka malah saya juga memilih warna tersebut untuk sambutan Deepavali kali ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga, K. Jayalakhsmi, 48, berkata, sambutan orang ramai terhadap Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023 sangat menggalakkan sejak dari awal.
“Di sini kawasannya lebih luas dan selesa, tempat meletakkan kenderaan juga banyak jadi lebih ramai orang akan datang dan berbelanja di sini,” katanya.
Tahun-tahun sebelum ini, Karnival Deepavali Negeri Sembilan diadakan di Jalan Dato’ Lee Fong Yee di tengah bandar Seremban bagaimanapun pihak penganjur menukar lokasi karnival bagi membolehkan lebih ramai peniaga mengambil bahagian. – UTUSAN










