OPV1 sertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 - Utusan Malaysia

OPV1 sertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023

KAPAL OPV1 milik Maritim Malaysia yang menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) kini berada dalam kelompok 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang akan menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat, tahun ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, ketika ini, OPV1 sedang menjalani fasa ‘sea trial’ atau percubaan sebelum belayar oleh syarikat kejuruteraan, TH Heavy Engineering Berhad (THHE) dan telah belayar memasuki kawasan perairan Pulau Pinang bersama kapal-kapal lain.

Menurut beliau, penyertaan kapal tersebut dalam eksesais berkenaan bertepatan dengan matlamat iaitu bagi menguji sepenuhnya kemampuan OPV1 sebelum diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia.

KAPAL OPV1 milik Maritim Malaysia yang menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

“Kapal yang berada dalam fasa ‘sea trial’ itu bakal diuji selama empat hari bermula 28 November (kelmarin) hingga 1 Disember (esok) dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika di kawasan perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang hingga ke Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja di atas KM Pekan bagi memantau kesiagaan semua kapal dan anggota-anggota penguat kuasa yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Turut serta pada sesi itu ialah Pengarah Ekesais, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah dan Pegawai Pemerintah KM Pekan, Kepten Maritim Mohd Yusri Hussin.

Berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar, OPV1 bernombor 8305 itu berkeupayaan untuk melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum iaitu sehingga tiga minggu tanpa ulang bekal.

la juga dilengkapi dengan teknologi pesawat udara tanpa pemandu (UAV), Meriam 30 milimeter (mm) Smash Aselsan yang berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.

Dalam pada itu, Hamid turut berharap kesemua kapal yang mengikuti eksesais kali ini mencapai tahap yang dihasratkan.

Pada masa sama, katanya, eksesais itu juga diharap dapat meningkatkan kompetensi hampir 500 pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang mengambil bahagian supaya mereka lebih bersedia dengan keadaan operasi sebenar pada masa akan datang.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya