KUALA LUMPUR: Yayasan MyAQSA (MyAQSA) bakal mengheret Israel kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam bulan ini susulan kekejaman berterusan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Pengerusinya, Lukman Sheriff Alias berkata, pasukan undang-undang MyAQSA akan mengemukakan bukti-bukti mengenai kekejaman dan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel.
Menurutnya, MyAQSA bekerjasama dengan kerajaan Palestin dan Kedutaan Palestin di Malaysia dalam mengumpulkan segala bukti-bukti tersebut bagi memastikan rejim Zionis dapat didakwa di ICC.
“Pasukan undang-undang kami akan bertemu secara peribadi dengan pendakwa raya ICC di The Hague, Belanda berhubung penyediaan dan persiapan terhadap bukti-bukti itu dengan harapan satu tindakan segera dapat diambil terhadap rejim Zionis Israel.
“Pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh rejim Zionis Israel adalah jenayah terang-terangan terhadap pembersihan kaum, jenayah menindas kemanusiaan serta jenayah perang yang mana ia di bawah bidang kuasa ICC serta Statut Rom,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kedutaan Palestin di Malaysia di sini, semalam.
Turut hadir sama adalah Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Pengerusi MyAQSA, Suwardi Yaacob.
Lukman Sheriff berkata, MyAQSA percaya penting untuk komuniti antarabangsa mengambil tindakan proaktif terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel secara berterusan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Kami menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menubuhkan sebuah majlis keselamatan dan pasukan pengamannya sendiri dalam menangani perkara ini. Malaysia yang merupakan ahli perlu memainkan peranan utama untuk menyokong dan mencadangkan inisiatif ini.
“Kami juga sangat mengesyorkan seluruh negara Islam melakukan boikot dan menghentikan segala bentuk perniagaan serta perdagangan dengan Israel sebagai tanda protes terhadap kekejaman mereka.
“Negara-negara Islam yang masih menjalin hubungan diplomatik dengan Israel perlu mengambil tindakan untuk memutuskan hubungan tersebut dan tutup pejabat kedutaan rejim Zionis di dalam negara mereka.
“MyAQSA turut menyeru negara-negara yang menandatangani Statut Rom untuk secara kolektif membawah kes jenayah perang dilakukan Israel ke ICC bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan rejim Zionis bertanggungjawab terhadap kekejaman mereka,” katanya.
Tambahnya, mana-mana pihak turut boleh mengemukakan bukti kepada ICC kerana mereka sudahpun menyediakan sebuah platform yang terbuka bagi membolehkan pihak lain turut serta membawa keadilan ke Palestin.
“Sehubungan itu, MyAQSA menggesa pendakwa raya ICC untuk menggunakan kuasa mereka mengikut klausa tertentu dalam mengambil tindakan terhadap Israel berdasarkan laporan dan bukti yang diberikan.
“Kita akan terus bekerja tanpa lelah dalam memastikan suara-suara mereka yang ditindas ini didengari sekali gus keadilan dapat ditegakkan manakala jenayah perang dan jenayah menindas kemanusiaan ini dibawa ke pengadilan,” tegasnya.-UTUSAN