Muzik rock tanah air terus 'hidup' dengan konsert Search: Voyage

Muzik rock tanah air terus ‘hidup’ dengan konsert Search: Voyage of Asia

VOYAGE of Asia di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri malam esok bakal menampilkan kumpulan XPDC sebagai persembahan istimewa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sambutan menggalakkan yang diterima melalui penjualan tiket konsert Search: Voyage of Asia membuktikan bahawa muzik rock tanah air masih diterima peminat negara ini.

Wakil penganjur, C&M Music Centre Sdn. Bhd., Adib Abdullah berkata, konsert di Kompleks Sukan Educity di sini itu mampu menempatkan sehingga 4,000 pengunjung.

Katanya, persiapan pentas juga sudah hampir siap sepenuhnya menjelang penganjuran konsert tersebut, malam esok.

“Kita yakin konsert yang menghimpunkan ramai artis-artis dan kumpulan rock tanah air akan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat genre muzik berkenaan. Ini membuktikan sehingga kini lagu-lagu rock terus menjadi nyanyian sehingga kini.

“Berdasarkan maklum balas kita terima, majoriti pengunjung akan membeli tiket secara ‘walk-in’, jadi, kita sudah bersedia awal untuk perkara tersebut. Setakat ini, lebih 1,000 tiket terjual, namun, kita percaya, menjelang malam esok, ia akan habis dibeli peminat genre muzik rock tanah air.

“Mereka yang hadir pula bukan hanya peminat kumpulan Search sebaliknya peminat muzik rock yang dahagakan konsert seperti ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Makan Malam bersama Media Search: Voyage of Asia dan Hari Rock Negara Edisi Selatan di Hotel Ibis, di sini malam tadi.

Sementara itu, pemain gitar kumpulan Search, Din atau nama sebenarnya Nordin Mohd. Taib berkata, pihaknya sudah bersedia 100 peratus untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang hadir.

Katanya, sejumlah 18 buah lagu popular kumpulan itu akan disampaikan oleh vokalis baharu mereka iaitu Denden Gonjalez.

“Lagu-lagu popular seperti Isabella dan Fantasia Bulan Madu itu sudah tentu kerana itu merupakan lagu wajib setiap kali persembahan diadakan,” ujarnya.

Mengulas berhubung penampilan Denden memasuki dua tahun bersama Search, Din memberitahu, kehadiran vokalis baharu itu semakin diterima peminat.

“Sudah tentu kita ada terima kritikan, tetapi kita pilih untuk lihat secara positif. Denden juga sentiasa beri yang terbaik dan setelah enam kali membuat konsert bersama, dia semakin serasi bersama.

Konsert Search: Voyage of Asia itu turut menampilkan penampilan khas kumpulan rock XPDC yang akan membuat persembahan pembukaan.

Pemain dram XPDC, Amy berkata, XPDC akan tampil di atas pentas untuk membuat persembahan selama 45 minit pertama dengan lima hingga enam lagu akan disajikan.

“Kita akan persembahkan lagu-lagu XPDC yang jarang kita mainkan, tetapi, sudah pasti peminat tahu akan lagu itu. Ini juga kali kedua penampilan Ary selaku vokalis selepas persembahan pertama kami di Singapura sebelum ini,” jelasnya.

Konsert Search: Voyage of Asia adalah antara pengisian pada Hari Rock Negara Edisi Selatan yang berlangsung bermula hari ini dan esok.

Pengasas Hari Rock Negara yang dikenali sebagai Kombat dari Kombat Records berkata, penganjuran Hari Rock Negara bertujuan ‘menghidupkan’ kembali industri muzik rock tanah air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN