KUALA LUMPUR: Penganjuran Mrs. Malaysia Globe (MMG) 2023 tahun ini menyediakan konsep lebih menyerlah, berani dan glamor berbanding tahun sebelumnya.
Menurut penganjur, tahun ini ia menggabungkan elemen tradisi dan moden, menciptakan pengalaman unik kepada peserta.
Katanya, pada 5 November lalu, penganjur mengatur beberapa acara yang mencabar untuk finalis. Perjalanan MMG 2023 dimulai Ogos lalu dengan Latihan Kesedaran Kognitif oleh Chris Teo.
Ia disusuli panduan perawatan diri oleh Desmond Yoi kepada finalis.
Acara kemuncak dalam episod latihan itu adalah bengkel ‘catwalk’ oleh supermodel terkenal, Amber Chia yang memiliki pengalaman bertahun-tahun dalam dunia peragaan.
Keterujaan finalis berlanjutan pada September lalu apabila disajikan dengan pelbagai kegiatan termasuk latihan tarian Bollywood yang ‘direka’ bagi memupuk semangat perpaduan kalangan peserta.
Dalam pada itu, bagi memberi kesedaran dalam keganasan yang berlaku dalam rumah tangga, sesi latihan Muay Thai diketengahkan untuk peserta bagi mempertahan diri dan boleh mengaplikasinya di dunia sebenar.
Seterusnya peserta dilibatkan dalam projek khas bersama dengan kanak-kanak disleksia dengan mereka bentuk kemeja-T untuk dilelong dan dana hasil kutipan daripada jualan akan disalurkan kepada dua pusat disleksia.
Di samping itu, peserta juga berpeluang memperoleh pengalaman secara langsung dalam aspek pertanian dengan menuai buah-buahan dan sayur-sayuran selaras dengan menggariskan kemapanan alam sekitar dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, bagi memastikan peserta kekal berada pada tahap yang baik, latihan yang lebih ketat diadakan bagi menyediakan peserta bersedia pusingan akhir MMG yang diadakan pada 5 November di Mega Star Arena, Sungai Wang.
Pada hari pusingan terakhir tersebut, penonton yang hadir disajikan dengan persembahan muzikal tradisional hingga kepada pakaian menarik yang diperagakan oleh para finalis.-UTUSAN










