TAMPIN: Pada usianya mencecah 102 tahun, Halipah Hasan masih lagi lancar membaca al-Quran, penglihatan yang masih jelas malah tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.
Hanya keadaan fizikalnya kini yang tidak dapat bergerak lancar berikutan terjatuh kira-kira tiga tahun lalu.
Ditanya mengenai petua yang diamalkannya sehingga kini, Halipah yang berasal dari Kampung Kuala Jempol, Bahau, memberitahu, sejak muda dia telah mengamalkan minum air kunyit yang dicampurkan dengan halia.
“Air kunyit itu elok, tidak la diminum setiap hari, tetapi tiga hari minum sekali, selepas itu empat hari minum sekali.
“Mula-mula ambil kunyit dan halia, kikis buang kulit, basuh dan selepas tu ambil lesung dan tumbuk. Kemudian perah airnya (kunyit dan halia) dan minum,” katanya ketika ditemui di Kampung Ladang, Gemas, di sini.
Menurut Halipah, dia sering mengamalkan bacaan ayat Kursi pada waktu malam sebelum tidur serta dalam urusan harian.
“Biasanya saya akan tidur pukul 8.30 malam dan bangun sekitar pukul 3.30 pagi. Pada usia begini, saya tidak susah hati malah bahagia sebab makan minum cukup dan juga anak (Saedah Pendek, 67) serta cucu (Norazizah Mat Ripin ,40,) menjaga saya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Norazizah yang merupakan anak tunggal berkata, dia sejak dari kecil lagi tidak pernah berpisah dengan neneknya itu.
Menurutnya malahan, dia turut membawa nenek serta ibunya bersama untuk berpindah ke Gemas kira-kira 15 tahun lalu walaupun selepas kematian suami akibat kemalangan.
“Saya bertuah apabila suami bagi perkahwinan kedua saya juga sama-sama menjaga kedua wanita penting dalam hidup saya ini,” katanya memberitahu neneknya mempunyai empat orang anak, namun hanya ibunya sahaja yang masih hidup.
“Nenek ada seramai 19 orang cucu dan cicit seramai 18 orang. Mereka juga sering menjenguk serta menziarahi nenek serta ada kalanya akan mengaji al-Quran di hadapannya,” katanya. -UTUSAN