MHO persoal kes syarikat pengendali umrah tipu diklasifikasi ROA

MHO persoal kes penipuan babit syarikat pengendali umrah diklasifikasi ROA

HISHAMUDDIN Hashim bersama sebahagian daripada 123 mangsa menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa berkaitan kes penipuan oleh syarikat pengendali umrah ternama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang mengklasifikasi siasatan terhadap syarikat pengendali umrah ternama sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) walaupun ratusan mangsa mendakwa ditipu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seramai 123 mangsa yang kerugian RM1.3 juta meluahkan kekecewaan apabila kes mereka didakwa tiada sebarang unsur jenayah di bawah siasatan pihak polis walaupun secara terang-terangan telah ditipu.

Dakwanya, lebih menghairankan, kes tersebut diserahkan kepada agensi lain untuk tindakan lanjut.

“Mangsa telah membuat bayaran kepada syarikat ini dan menerima jadual penerbangan namun malangnya pada hari yang sepatutnya, mereka dimaklumkan tidak dapat menunaikan umrah dengan pelbagai alasan.

“Jadi kita mahu pihak polis menyiasat ke mana wang mangsa itu ‘menghilang’ selepas pelbagai janji termasuk cek dan jadual penerbangan semula dibatalkan beberapa kali oleh syarikat itu.

“Jadi mengapa kes ini ROA sedangkan ini jelas satu jenayah apabila mangsa diperdaya dan ditabur pelbagai janji,” katanya dalam sidang akhbar di Sungai Besi, di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, mangsa turut mengambil inisiatif dengan memfailkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) bagi mendapatkan pampasan.

Bagaimanapun, jelasnya, syarikat tersebut tidak menghiraukan arahan untuk membuat pembayaran walaupun menerima perintah award.

“Mereka kata hendak bayar pampasan, tetapi apabila sampai tarikh hendak tunaikan cek, cek tersebut dibatalkan. Buat penjadualan penerbangan semula, tetapi tiba tarikh hendak terbang, tiada pun penerbangan disediakan.

“Untuk makluman, sekiranya syarikat tersebut telah mengingkari perintah award, ia merupakan satu kesalahan yang melanggar undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Ketua Polis Negara, apabila sesuatu laporan itu ada unsur jenayah, pihak polis perlu buka siasatan terus.

“ROA ini lain, kalau ada melibatkan lesen-lesen itu lain. Jadi pihak polis akan memberitahu kepada agensi yang mengeluarkan lesen untuk mengambil tindakan.

“Tetapi kalau didapati ada unsur jenayah, maka polis perlu siasat terus, tidak boleh ada ROA,” jelasnya.

Sementara itu, seorang guru, Che Roni Mat, 56, dan lapan individu serta kenalan rugi RM77,000 akibat diperdaya syarikat pengendali umrah tersebut.

“Syarikat itu dilihat meyakinkan, jadi kita mengambil pakej dengan mereka dengan harapan untuk membuat ibadah.

“Bagaimanapun, mereka menuntut membuat beberapa bayaran tambahan lain sehinggakan saya berasa musykil dan kecewa kerana sehingga sekarang masih tidak dapat menunaikan umrah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya