KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mempersoal sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih ‘membisu’ berhubung isu video perbualan lucah antara bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) lantikannya dengan seorang lelaki muda sebelum ini.
Datuk Wan Saiful Wan Jan [PN-Tasek Gelugor] berkata, Anwar tidak pernah sekali pun menyentuh mengenai kontroversi Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dengan Penolong Pagawai, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, sedangkan J-KOM satu daripada jabatan yang diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sehubungan itu, katanya, sekiranya Anwar tidak dapat menjalankan tugasnya dalam menyelia J-KOM, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) harus mengambil alih peranan itu kerana disifatkan lebih menjimatkan dan menjalankan fungsi secara efektif.
“J-KOM ini dari segi peranannya saya rasa ada kegagalan yang berlaku atau dakwaan salah laku yang kita kenali sebagai skandal A&W ini. Sehingga hari ini Perdana Menteri yang melantik Ketua Pengarah tidak memberi komen.
“Jika perdana menteri separuh masa kita tidak boleh menjalankan tugas dan peranan J-KKOM, ambil alih J-KOM dan letak di bawah KKD (Kementerian Komunikasi Digital),” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Pada minggu lalu, media melaporkan satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Mohammad Agus dan tersebar di media sosial.
Video berdurasi 3 minit tiga saat itu dikongsi Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.
Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.
Menjengah ruangan caption pada video berkenaan, Che’gu Bard mempersoal jika lelaki dalam video itu adalah Pengarah J-KOM lantikan Perdana Menteri yang dikatakan meletak jawatan.
Mohammad Agus baru-baru ini mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan dan diserah kepada Perdana Menteri kerana menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak.
Mohammad Agus dan Wahab kemudian muncul dalam sidang akhbar baru-baru ini bagi menjelaskan rakaman video yang tular melibatkan perbualan lucah antara dua lelaki.
Kata mereka, rakaman video itu telah disunting dan dibingkaikan seolah-olah mereka sedang berbual mengenai perkara intim dan hubungan sejenis, sedangkan hakikatnya ia tidak seperti yang digambarkan selain berniat menjatuhkan maruahnya.
Abdul Wahab pula mendakwa dia diarah oleh pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘ Mr. H’ untuk merakam perbualan bersama Mohammad Agus.
Abdul Wahab bagaimanapun memberitahu, isi perbualan dalam video tular yang mengandungi unsur lucah itu bukan seperti yang tersebar dan tular dalam media sosial.
Sebaliknya, katanya, video yang dirakamnya itu tidak mempunyai audio. – UTUSAN