Media Malaysia harus ditegur, elak guna perkataan militan terhadap pejuang Hamas 

DEWAN RAKYAT: Media Malaysia harus ditegur, elak guna perkataan militan terhadap pejuang Hamas 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media Malaysia harus sensitif dengan pelaporan yang menggunakan perkataan militan terhadap pejuang Hamas, seperti yang digunakan oleh media-media Barat. 

Perdana Menteri berkata, beliau bersetuju bahawa pihak editorial harus diambil tindakan melalui teguran supaya menggunakan terma sesuai untuk pejuang Palestin itu. 

“Saya setuju harus ada kesedaran ini supaya semua media (Malaysia) faham akan kegelisahan dan sensitiviti rakyat dan mengiktiraf hak rakyat Palestin. 

“Sebab itu dalam jawapan sebelum ini, saya sengaja mengaitkan tentang kedudukan orang Kristian yang menjadi mangsa keganasan Yahudi supaya orang Malaysia tahu sama ada orang Islam atau bukan Islam sedar isu ini adalah kemanusiaan dan kezaliman yang dilakukan Israel. 

“Saya selalu ungkapkan rampasan kuasa, tanah, harta dan maruah ini terus diperkosa dan dihina. Jadi, ada hak untuk bangkit,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang] yang meminta pandangan Perdana Menteri menegur media Malaysia atas pelaporan salah yang menggambarkan pejuang Hamas dengan gelaran militan, yang didakwa banyak diguna dalam media bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris di negara ini. 

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut secara khusus media yang dimaksudkan.  

“Hamas bukanlah pengganas, sebaliknya kumpulan pembebasan. Saya minta Yang Berhormat tegur pihak editorial yang salah lapor ini,” katanya. 

Pada 9 Oktober lalu, Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menggesa supaya media tempatan tidak terikut-ikut membawa naratif pelaporan berat sebelah media barat dan media luar dalam melaporkan perkembangan krisis di Semenanjung Gaza, Palestin.

“Kami ingin menggesa agar pihak media tempatan untuk tidak terikut membawa naratif berat sebelah media barat dan media luar dalam melaporkan perkembangan krisis di Gaza sekarang,” katanya.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, pengamal media tempatan perlu melaporkan berita keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dengan telus dan tepat berbanding media barat yang didakwa menyampaikan berita palsu.

Beliau berkata, pengamal media perlu mendedahkan fakta di setiap platform yang tersedia agar pencerobohan, ketidakadilan dan tindakan tidak berkemanusian yang berlaku di Gaza hari ini dapat disaksikan seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN