SUNGAI PETANI: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 107.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berdekatan Taman Sejati, di sini pagi ini.
Mangsa, Sabari Mahamud, 58, yang menetap di Zon Mawar, Persiaran Aman Jaya 3 di sini meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan berlaku pada pukul 7.50 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Butterworth, Pulau Pinang.
“Semasa tiba di lokasi sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita berumur 49 tahun di lorong sama telah bergesel dengan motosikal mangsa. Akibatnya mangsa hilang kawalan dan motosikalnya terbabas sebelum dia terhumban ke kanan jalan,” katanya.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. –UTUSAN