PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengakui bimbang mengenai kualiti para pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berikutan ketiadaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan, peringkat pencapaian ujian kemasukan ke institusi itu juga didapati rendah berikutan ketiadaan peperiksaan utama berkenaan.
“Tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR, sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.
“Salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan tiadanya UPSR,” katanya dalam status laman Facebook hari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) bertegas tidak akan mengembalikan semula UPSR dalam masa terdekat walaupun menerima banyak permintaan dalam kalangan ibu bapa.
Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 selain agenda jelajah jerayawara pendidikan masa depan.
Sebelum ini, KPM melancarkan Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian sejak Ogos lalu sebagai langkah untuk membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.
Terdahulu, keputusan untuk memansuhkan UPSR untuk murid tahun enam itu dilakukan pada 2021 hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak ia dibatalkan susulan pandemik Covid-19.-UTUSAN