20 tahun sakit saraf bukan halangan Cikgu Nadzri

20 tahun sakit saraf bukan halangan Cikgu Nadzri

BERTONGKAT bukan halangan Nadzri Ahmad terus mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Walaupun mende­rita sakit saraf tunjang sejak 20 tahun lalu, ia bukan penghalang bagi seorang guru untuk berbakti dan mencurah ilmu kepada anak muridnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling, di sini.

Selama tempoh itu, Nadzri Ahmad, 54, guru Pendidikan Islam mengatur langkah ke bilik darjah dan menapak bangunan bertingkat serta menyertai akti­viti luar kelas dengan bantuan tongkat.

Nadzri berkata, penyakit saraf tunjang yang mula dialami pada 2005 menyebabkannya tidak boleh berdiri lama kerana pinggang hingga kedua-dua belah kakinya lemah.

“Akibat ditimpa penyakit ini saya tidak boleh berjalan jauh, cuma dibantu dengan sebatang tongkat dan perlu berhenti seketika dan menyambung semu­la ketika bergerak ke kelas dan menyertai aktiviti luar darjah.

“Ketika dalam kelas, saya cuma berdiri sekali-sekala dan selebihnya duduk menghadap murid ketika mengajar Pendidikan Islam termasuk al-Quran dan fardu ain.

“Namun hal ini tidak menghalang tugas mengajar dan sekali-sekala saya berge­rak ke meja murid menyemak latihan mereka, manakala me­ngangkat peralatan berat seperti buku dibantu oleh murid ketika ke bilik guru dan tempat lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Nadzri yang berasal dari Kampung Gol berdekatan Taman Negara Kuala Tahan mula me­ngajar pada 1990 hingga 1996 di SK Gusai, Ulu Tembe­ling sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) sebelum menyam­bung latihan perguruan program Kursus Dalam Cuti Khas dalam bidang Pendidikan Islam di Maktab Perguruan Islam, Bangi Selangor pada 1996.

Katanya, selepas tamat latihan, dia kembali mengajar di SK Gusai hingga 2005, kemudian bertukar ke SK Kuala Tahan (2006-2010) dan SK Ulu Tembeling pada 2011 hingga 2021 serta dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM).

“Ketika dinaikkan pangkat PKHEM, saya menderita sakit saraf tunjang amat teruk dan kerap mendapatkan rawatan sehingga dinasihatkan oleh pentadbir melepaskan jawatan itu dan menjadi guru biasa (guru penolong) semula di SK Ulu Tembeling bermula 2022 sehingga kini,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak yang sudah mempunyai empat menantu dan lima orang cucu itu reda dengan ujian Allah SWT kerana sudah tersurat qada dan qadar dia dipilih menjalani kehidupan sebagai guru menggunakan tongkat ketika mengajar.

“Paling sukar sebelum 2010 kampung ini belum dihubungi jalan raya ke bandar Jerantut dan saya terpaksa menaiki bot penambang untuk ke bandar. Ketika dipanggil menjalani kursus di maktab, latihan dalam perkhidmatan, mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah dan berjumpa doktor pakar terpaksa saya lalui dengan tabah dan ke­rap kali tergelincir di tebing Sungai Tembeling dalam kea­daan badan yang lemah.

“Selepas 2010, saya tidak lagi menghadapi kesukaran ke bandar kerana sudah ada jalan raya dari persimpangan Kampung Mat Daling ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut, cuma saya perlu menaiki bot penambang menyeberang Sungai Tembeling dengan dibantu oleh anak untuk menaiki kereta di parkir terletak di kampung seberang,” katanya.

Ujarnya, dia akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi mendidik murid di pedalaman Ulu Tembeling walaupun sedikit ‘terganggu’ dengan ujian kesakitan itu dan meletakkan harapan untuk terus bertugas di SK Ulu Tembeling sehingga usia pencen 60 tahun. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN