MEKAH: “Perasaan saya gundah-gulana selepas suami dapat tawaran menunaikan haji sedangkan saya tidak terima apa-apa”.
Demikian kata Salbiah Ismail, 50, yang mengimpikan untuk menunaikan haji bersama suami, Norazlan Mohammad Nor, 50, selepas sama-sama mendaftar dengan Tabung Haji (TH) 16 tahun lalu.
“Saya pelik kerana saya tidak dihubungi atau menerima sebarang makluman tawaran menerusi e-mel daripada TH. Suami minta saya rujuk pejabat TH, rupa-rupanya e-mel saya bermasalah.
“Sebaik membuka ruangan spam e-mel betapa lega hati saya kerana terpanggil untuk menunaikan ibadah haji tahun ini,” katanya ketika ditemui di penginapan jemaah di Hotel Land Premium, di sini baru-baru ini.
Berkongsi perasaannya, Salbiah yang juga guru Matematik berkata, dia masih tidak percaya impian sejak 2009 itu termakbul selepas sekian lama menanti.
“Saya masih terharu, terkejut rupa-rupanya saya dipanggil ke sini, itu yang saya macam (perasaan). Ya Allah ya Tuhan panggil saya ke sini untuk tunaikan haji.
“Kali pertama saya umrah dan akan tunai haji, rasa macam tidak percaya. Betulkah saya ke sini lebih-lebih lagi sebelum ini saya mengalami masalah sakit perempuan. Lebih-lebih lagi ketika melihat Kaabah di depan mata,” katanya.
Kata Salbiah, dia merasakan segala urusan serta perjalanan ke tanah suci dipermudahkan-Nya selepas keputusan pemeriksaan kesihatan menunjukkan dia sihat untuk menunaikan haji.
“Ketika di Padang Arafah nanti saya mahu berdoa agar sentiasa sihat untuk jalani ibadah ini dengan sebaik-baiknya jika melihat apa yang saya lalui sebelum ke sini.
“Semoga Allah perkenankan, itu yang saya betul-betul hajatkan segala penyakit saya ini disembuhkan,” katanya.
Bagi melepas kerinduan kepada empat anak berusia 14 hingga 23 tahun di Malaysia, Salbiah dan suami sekerap membuat panggilan video untuk memaklumkan aktiviti di sini. – UTUSAN










