Mangsa banjir luar jangka masih trauma - Utusan Malaysia

Mangsa banjir luar jangka masih trauma

RAJA Kamaruddin Raja Mohamed (kiri) dan anak lelakinya, Raja Rizal Raja Kamaruddin memindahkan bahan binaan rumahnya ke tempat lebih tinggi sebagai persediaan menghadapi banjir pada musim tengkujuh di Kampung La, Besut, hari ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Saya masih trauma apabila hujan lebat dan tidak dapat melupakan saat rumah yang menjadi tempat berlindung musnah sekelip mata dihanyutkan arus dalam kejadian banjir pada Disember tahun lalu,” luah Raja Kamaruddin Raja Mohamed. 

Raja Kamaruddin, 59, yang merupakan salah seorang mangsa dalam kejadian banjir luar jangka itu berkata, perasaannya bercampur baur apabila tiba musim tengkujuh apabila rumah yang dibina selepas bencana tersebut sehingga kini masih belum siap dan tidak dapat didiami. 

“Siapa tidak sedih apabila rumah yang kita duduk berpuluh-puluh tahun musnah begitu sahaja dan  sekarang ini hidup saya dan keluarga terpaksa berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat sementara menunggu rumah yang dibina dapat didiami kembali.

“Sebelum ini rumah lama saya separuh kekal, manakala rumah yang baru dibina ini adalah rumah kekal di kawasan lebih tinggi berbanding rumah lama,”katanya ketika ditemui di Kampung La, Hulu Besut, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, rumah yang dibina dengan ketinggian tiga meter itu adalah hasil sumbangan orang ramai dan ia masih dalam proses pembinaan selepas terbengkalai beberapa bulan lalu.

Ujar bapa kepada lapan anak itu, situasi tersebut berlaku kerana menghadapi masalah kewangan dan hanya bekerja kampung bagi menampung kos harian mereka sekeluarga.

“Saya hanya bekerja mengambil upah memetik petai dan membuat kerja-kerja kampung, dengan upah yang tidak seberapa saya tidak mampu untuk menanggung kos pembinaan yang semakin meningkat.

“Sebelum ini saya menggunakan kira-kira RM12,000 sumbangan orang ramai untuk membangunkan kembali rumah yang roboh dan memerlukan RM20,000 lagi untuk siap sepenuhnya,” katanya.

Raja Kamaruddin berkata, setakat ini dia dan keluarga terpaksa menumpang di rumah saudaranya di Kampung Bela Oh di sini, sejak Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya