KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf keputusan mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan secara unilateral dengan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.
Perdana Menteri berkata, Malaysia hanya mengiktiraf keputusan yang dibuat secara multilateral oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Walaupun AS telah meluluskan undang-undang tersebut, kata beliau, ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan Malaysia yang sentiasa berdiri teguh dengan Palestin.
“Semalam saya menghubungi beberapa sahabat dan negara Islam yang memberi pendirian sama. Sebab itu hubungan dengan Hamas kita teruskan dulu dan sekarang serta tidak menghukum mereka sebagai badan pengganas.
“Walaupun kita tidak memperakui Status Rom, maknanya kita tidak boleh bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Tetapi, arahan kita jelas akan memberi sokongan mana-mana negara termasuk Palestin dalam membawa kes Palestin dengan isu penjajahan dan kezaliman penindasan ke atas rakyat Palestin,” katanya semasa pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang] yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan RUU Pencegahan Pembiayaan Anatarabangsa Hamas. – UTUSAN










