SHAH ALAM: Malaysia dijangka menerima perubahan yang lebih agresif termasuk aspek pelaburan pada tahun depan ekoran keyakinan terhadap dasar dan kestabilan politik negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin dengan hasrat tersebut setelah menyaksikan pertambahan nilai pelaburan selepas setahun menerajui kepimpinan negara.
Tanpa memperincikan perkara tersebut, Anwar memaklumkan, perbincangan bersama syarikat global ketika lawatan kerja ke San Francisco, Amerika Syarikat (AS) minggu lalu telah menunjukkan satu perkembangan yang amat positif.
Tegas beliau, semua pihak perlu menitikberatkan soal integriti dan ketelusan jika mahu membawa anjakan perubahan baharu kepada Malaysia.
“Dengan politik yang stabil, saya jangka untuk tahun berikutnya kita akan lebih agresif dan tegas membawa perubahan yang diperlukan bukan sahaja untuk menyelamatkan negara, tetapi mengangkat Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.
“Saya yakin (perkara ini) dan tahu perubahan tidak mudah, sebab itu kita mula dengan kerajaan walaupun tidak disenangi banyak pihak.
“Mula dengan tatakelola, mula dengan sikap penilaian yang baik bukan sahaja soal kemampanan, tetapi nilai dan akhlak yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, dasar kerajaan yang lebih jelas dan kestabilan merupakan faktor utama para pelabur berminat menembusi Malaysia.
Katanya, ia bersandarkan beberapa pertemuan berdama pelabur terkenal antarabangsa antaranya Tesla, Infineon dan Geely yang dilihat berjaya memberi impak positif kepada peluang ekonomi dan pekerjaan.
Malah kata beliau, pengurusan Geely juga berpuas hati dengan etika dan kualiti pekerja tempatan sekali gus mendorong mereka untuk meluaskan potensi di Malaysia.
“Masalah cuma satu sahaja iaitu tahap kemahiran tinggi ada kekurangan, maka Geely menyediakan 300 tempat di sebuah China untuk peluang latihan,” katanya.
Kata Anwar, kerajaan juga menekankan keperluan agar semua pihak untuk berkerjasama dengan pemain industri agar pelapis tenaga negara dapat memenuhi keperluan industri.
Selain itu katanya kerajaan telah menyediakan peruntukan RM6.8 bilion untuk pendidikan aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2024 bagi memperkukuhkan kelangsungan pekerja mahir untuk masa akan datang. – UTUSAN










