PETALING JAYA: Malaysia meraih komitmen pelaburan sebanyak RM63.02 bilion bagi cadangan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) terutama daripada syarikat-syarikat gergasi teknologi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8.33 bilion adalah daripada misi perdagangan dan pelaburan ke AS yang dianjur sebelum bermula Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco.
Katanya, pelaburan selebihnya adalah daripada mesyuarat satu dengan satu yang diadakan Anwar di sana.
“Pelaburan bagi misi perdagangan ini adalah daripada Abbot Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.
“Pelaburan selebihnya telah diraih daripada pertemuan berasingan dengan gergasi teknologi seperti Google, Enovix Corporation, Microsoft, Tik Tok dan TPG,” katanya di akhir lawatan ke negara itu. – UTUSAN










