PETALING JAYA: Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baiknya dengan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China tanpa memihak kepada mana-mana negara demi kesejahteraan sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama dengan kedua-dua kuasa besar itu memberikan Malaysia ruang lebih strategik untuk memajukan negara dalam pelbagai sektor.
Katanya, di sebalik peningkatan persaingan strategik antara AS dengan China, Malaysia mengambil pendekatan meneruskan hubungan dengan kedua-duanya secara pragmatik dan berhemah.
“Kita akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mengurangkan risiko iaitu konflik secara langsung atau pembahagian ekonomi global kepada blok-blok tertentu. Keadaan tersebut mungkin tidak berlaku dalam masa terdekat ini tetapi ia munasabah dengan tekanan yang semakin memuncak.
“Saya tak percaya konflik bersenjata antara kuasa-kuasa besar tidak dapat dielakkan, dan negara-negara kuasa pertengahan seperti Malaysia boleh membantu mengurangkan tekanan menerusi diplomasi kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di University of California, Berkeley, San Francisco, Amerika Syarikat, hari ini.
Pada syarahannya yang bertajuk Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific: The View from Southeast Asia, seramai lebih 250 penuntut universiti hadir mendengarnya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, terdapat ruang kepada Malaysia untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan AS dan China khusunya dalam isu perubahan iklim, peralihan tenaga, pendidikan dan hubungan antara rakyat yang menawarkan ruang kerjasama.
“Walaupun sedar akan berlaku percanggahan, Malaysia masih melihat kepada nilai dalam kerjasama antara Washington dan Beijing. Dinamika ekonomi AS, budaya inovasi dan peranan utama dalam menjamin kestabilan serantau akan memastikan ia menerajui banyak bidang pada masa depan.
“Melainkan berlaku kesilapan sekali-sekala dalam kedudukan dasar, keterbukaan keseluruhan Amerika terhadap imigrasi dan bakat mengekalkan kelebihan daya saing ini. Selagi persaingan keamanan masih ada, negara seperti kita tidak perlu memilih satu pihak atau yang lain,” katanya.
Perdana Menteri berkata, China pula akan kekal menjadi pusat hal ehwal serantau berdasarkan kekuasaan, kedudukan dan hubungan eratnya dengan Asia Tenggara.
Menurutnya, memandangkan ekonomi China semakin matang, ia akan mengalihkan penekanannya daripada pelaburan dan eksport kepada penggunaan serta perkhidmatan domestik.
“Jumlah populasi penduduk China yang besar akan dapat memastikan pasarannya terus berkembang secara signifikan. Realiti ini menuntut hubungan konstruktif dengan China kekal penting, walaupun kita mengimbangi peranan Amerika
“Penglibatan kedua-dua kuasa besar itu memberi Malaysia ruang yang lebih strategik untuk memajukan kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN