Malaysia jumpa sekutu Israel bincang usaha selesai krisis di Gaza

Malaysia jumpa sekutu Israel bincang usaha selesai krisis di Gaza

ZAMBRY Abdul Kadir bergambar dengan sebahagian pelawat yang hadir mengunjungi Hari Terbuka Wisma Putra di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan terus melipatgandakan kaedah diplomasi secara aktif di seluruh dunia termasuklah bertemu sekutu Israel bagi menamatkan kemelut berdarah di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sendiri akan berjumpa dengan rakan sejawatnya di India, Subrahmanyam Jaishankar ketika melawat negara itu.

“Insya-Allah saya akan mengunjungi India dan kemudiannya ke beberapa lagi negara lain untuk berbincang mengenai penyelesaian isu krisis di Gaza,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Wisma Putra 2023 di sini hari ini.

India merupakan antara sekutu kuat rejim Israel dan mereka telah menjalinkan hubungan diplomatik rasmi dengan membuka kedutaan di ibu negara masing-masing sejak 1992 lagi.

Malah, negara terbesar rantau Asia Selatan itu ialah pembekal terbesar peralatan senjata tentera kepada Israel dan rakan perdagangan global kesepuluh paling besar rejim Zionis.

New Delhi juga sering menyebelahi Tel Aviv setiap kali berlaku pembentangan pelbagai resolusi panas yang berkaitan dengan isu Palestin di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Mengulas lanjut, Zambry walau bagaimanapun tidak memperincikan lawatan rasmi sulung beliau ke India yang penuh dengan jadual padat selama dua hari itu bermula 6 November.

“Nama Malaysia sentiasa diberikan keutamaan malah suara negara ini sering kali diminta pelbagai organisasi sejagat dalam isu Palestin meskipun dianggap negara kecil,” jelasnya.

Beliau merujuk pengaruh besar Malaysia yang lazim dijadikan rujukan kalangan negara ahli ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).

Lawatan julung kali beliau ke India atas jemputan Jaishankar, dijangka menjadi tumpuan dunia kerana negara itu diketahui tidak mesra Muslim terutama jirannya sendiri, Pakistan.

Malaysia dan India merupakan anggota dalam Pertubuhan Komanwel, Persatuan Lingkaran Lautan Hindi (IORA), Dialog Kerjasama Asia (ADC) serta Kumpulan 15 Negara (G15).

Zambry dijadualkan mempengerusikan bersama Mesyuarat Suruhanjaya Malaysia-India di New Delhi selain sesi kunjungan hormat ke atas Naib Presiden India, Jagdeep Dhankar.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat tiga negara Islam yang ada hubungan diplomatik baik dengan rejim Zionis susulan krisis Gaza bermula 7 Oktober.

Siri jelajah beliau tersebut ke Emiriah Arab Bersatu, Turkiye dan Mesir baru-baru ini turut membincangkan langkah penyelesaian terbaik kemelut berdarah di wilayah Palestin itu.

Perkara berkenaan malah menarik perhatian Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang memohon negara ini terus proakktif bersuara lantang dalam isu di Gaza sendiri.

Ketika ini pendirian Malaysia kekal dengan formula penyelesaian dua negara berdasarkan peta ditetapkan PBB sebelum 1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.

Rumusan berkenaan namun ditolak kebanyakan negara Islam khususnya negara-negara Arab yang mula menyokong penyelesaian satu negara sahaja tanpa ada langsung Israel.

Mereka berpendapat penyelesaian dua negara sebagai mesej tersirat yang mengiktiraf kedaulatan rejim Zionis sebagai negara sah padahal ia dibentuk secara haram pada 1948. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya