Malaysia, Iran gesa bantuan kemanusiaan dibawa lebih banyak ke Palestin

Malaysia, Iran gesa bantuan kemanusiaan dibawa lebih banyak ke Palestin

ANWAR Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ebrahim Raisi di Riyadh, semalam. - GAMBAR FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia dan Iran sebulat suara bersetuju supaya negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan yang lebih besar melibatkan isu kemanusiaan sejagat khususnya kepada rakyat Palestin. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara antaranya menggesa supaya bantuan kemanusiaan lebih banyak dibawa masuk ke Palestin.

Gesaan itu hadir setelah beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Ebrahim Raisi, di sela Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan OIC ke-8 antara Negara-Negara Liga Arab dan Negara-Negara OIC, bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan zionis Israel terhadap Palestin. 

“Dalam pertemuan yang penuh bermakna ini, kami sebulat suara bersetuju agar kekejaman Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera. Kami juga mendukung segala usul yang dibawa oleh OIC termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta. 

“Kami juga turut menggesa supaya bantuan kemanusiaan yang lebih banyak dibawa masuk ke Palestin bagi membantu mereka yang memerlukan dan mahukan OIC memainkan peranan yang lebih besar khususnya dalam melibatkan isu kemanusiaan sejagat,” katanya dalam hantaran di aplikasi X hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kedua-dua pihak telah menyatakan kesediaan untuk mempertingkat hubungan dua hala termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu.

Katanya, pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran sebanyak RM3.68 bilion (meningkat sebanyak 40.2 peratus dari tahun 2021) dan kelapa sawit merupakan produk utama perdagangan kedua-dua negara.

Selain itu, katanya, kedua-dua mereka turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing.

“Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua buah negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan yang besar dalam dunia Islam. 

“Saya juga mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) di antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN