Malaysia-China setuju wujud institusi TVET

Malaysia-China setuju wujud institusi TVET

AHMAD Zahid Hamidi mengiringi Han Zheng selepas mesyuarat dua hala di Sri Satria Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan China bersetuju untuk menubuhkan sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini yang akan diselia Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat dua hala antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden China, TYT Han Zheng di Sri Satria di sini, petang tadi.

Ahmad Zahid berkata, antara bidang TVET yang disepakati termasuk teknologi kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), telekomunikasi dan teknologi lain yang kini dipelopori China.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, institusi TVET itu kelak akan menggunakan institusi milik Mara sedia ada dan tidak membabitkan kos baharu.

“Mereka (China) menawarkan peluang kepada pelajar TVET tempatan untuk mempelajari bidang kritikal itu. Apa yang penting ialah modulnya dari China dan 100 peratus pelajar yang dilatih institusi TVET ini akan diambil bekerja oleh syarikat China di negara ini.

“Saya akan bawa perkara itu ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Mara untuk mewujudkan institusi itu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat dua hala itu, hari ini.

Dalam pertemuan sama, Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut mengajak pelabur China untuk melabur di 14 industri zon halal di negara ini termasuk membuka kilang-kilang mereka di zon berkenaan.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pengeluaran produk halal yang dikeluarkan di sini sebelum dieksport di negara Islam dan negara lain,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga akan mempelajari model dan kejayaan China dalam membangunkan kawasan luar bandar mereka.

“Di luar bandar bukan hanya soal pertanian tetapi bagaimana soal pembangunan dibawa ke kawasan luar bandar sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Zheng berada di Malaysia sempena rangka lawatan kerja empat hari ke negara ini bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini.

China adalah rakan dagang Malaysia terbesar sejak 2009 dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara tahun lalu sudah mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan China bagi 2022 adalah sebanyak RM487.13 bilion iaitu peningkatan 15.6 peratus, berbanding tempoh sama pada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya