LKAN 2022: Perolehan senjata PDRM tidak cekap, kerajaan rugi RM6.34j

LKAN 2022: Perolehan senjata PDRM tidak cekap, kerajaan rugi RM6.34 juta 

LKAN 2023
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dianggarkan kerugian RM6.34 juta susulan dan perolehan senjata api yang tidak diuruskan dengan cekap kerana ia masih belum dibekalkan walaupun kontrak perolehan telah tamat.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, semakan Audit mendapati Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan pelbagai jenis senjata lama dan lusuh serta aksesori kepada Syarikat X secara berperingkat antara 5 Oktober 2012 hingga 11 November 2014.

Jelas LKAN, ia membabitkan perjanjian bagi kontrak pelupusan ke atas pelbagai jenis senjata lama dan lusuh serta aksesori milik PDRM yang ditandatangani antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Syarikat X pada 1 Oktober 2012 dengan tempoh perjanjian 1 Oktober 2012 sehingga 30 September 2014.

Fasal 5 perjanjian menyatakan nilai perjanjian tidak kurang daripada RM7.50 juta.

“Pada bulan Oktober 2014, syarikat X telah menyerahkan aksesori bernilai RM1.16 juta kepada PDRM.

“Sehingga tarikh pengauditan pada bulan Februari 2023, syarikat X masih belum memenuhi obligasi kontrak bagi membekalkan senjata serta mengadakan latihan. Dengan mengambil kira nilai aksesori yang telah dibekalkan berjumlah RM1.16 juta, obligasi kontrak yang belum dilaksanakan dianggarkan berjumlah RM6.34 juta.

“Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada tindakan susulan diambil terhadap syarikat bagi memastikan syarikat memenuhi obligasi kontrak. Kegagalan tindakan susulan oleh KDN terhadap pematuhan terma kontrak menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan berjumlah RM6.34 juta,” kata laporan itu.

Dalam pada itu, LKAN secara keseluruhannya menyifatkan pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah KDN adalah kurang memuaskan.

Katanya, ini kerana terdapat kelemahan dalam penyediaan dasar berkenaan sukatan senjata api dan amunisi serta berlaku kes kehilangan senjata api milik jabatan dan agensi di bawah KDN.

“Selain itu, berlaku kelemahan tindakan penguatkuasaan Akta Senjata 1960 bagi pembaharuan lesen senjata api yang boleh menjejaskan kawalan senjata api oleh PDRM,” katanya.

Justeru, LKAN 2022 mengesyorkan KDN dan PDRM perlu memastikan syarat kontrak dipatuhi sepenuhnya supaya kerajaan memperoleh nilai terbaik bagi setiap perolehan yang dibuat.

Selain itu, KDN dan PDRM juga hendaklah mengkaji dari aspek perundangan tindakan yang boleh diambil sekiranya syarikat gagal memenuhi obligasi kontrak.

“Seterusnya, komunikasi dan koordinasi antara semua pihak di KDN, jabatan dan agensi perlu dipertingkatkan bagi memastikan senjata api diuruskan dengan cekap dan teratur bermula dari proses perolehan hingga pelupusan.

“KDN dan PDRM juga hendaklah memastikan semua syarikat dan individu yang dilesenkan untuk menjalankan aktiviti berkaitan senjata api mematuhi semua perundangan dan peraturan yang berkaitan termasuk peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Tindakan tegas seperti membatalkan lesen perlu diambil terhadap syarikat dan individu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, dan kawalan pembaharuan lesen senjata api perlu dipertingkatkan supaya penggunaan senjata api sah dan terkawal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya