SUNGAI PETANI: Polis menahan sekumpulan lima lelaki serta seorang mangsa bagi membantu siasatan kes merusuh tanpa senjata di hadapan sebuah hotel di Padang Temusu di sini, petang semalam.
Kejadian kira-kira 1 petang itu dipercayai berlaku ekoran mangsa lelaki berusia 42 tahun yang juga kenalan kumpulan suspek itu mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang isteri kepada suspek berusia 33 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lima suspek berusia 16 hingga 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kota Kuala Muda, manakala mangsa ditahan di sekitar bandar Sungai Petani.
“Kira-kira pukul 1 petang semalam, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan dia ternampak sekumpulan lelaki memukul seorang lelaki lain di hadapan sebuah hotel di Padang Temusu.
“Kesemua lima lelaki itu merupakan kenalan kepada mangsa dan kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zaidy berkata, lima suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat, sementara seorang suspek berusia 16 tahun dibenarkan reman selama sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan luka ringan di bahagian kepala, muka dan paha kiri.
“Tiada sebarang senjata digunakan dalam kejadian ini. Ujian saringan air kencing mendapati mangsa serta dua lagi suspek masing-masing berusia 16 dan 33 tahun positif dadah.
“Semakan mendapati mangsa juga mempunyai tujuh rekod kesalahan membabitkan dadah manakala selain remaja lelaki berusia 16 tahun itu, kesemua suspek lain turut memiliki rekod kesalahan lampau,” katanya. –UTUSAN