KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang mendakwa terdapat jawapan tiga pemimpin PKR selepas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, parti itu tidak pernah menjadi ahli pertubuhan antarabangsa, Liberal International tidak konsisten.
Ahli Parlimen Machang dari Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, terdapat ciapan atau hantaran Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pada 2016 menyaksikan beliau mengaku bahawa PKR adalah ahli pertubuhan itu sepenuh masa.
“Perkara ini juga konsisten dalam semua dokumen atau laman rasmi Liberal International, bahkan banyak laporan berita dikatakan PKR ahli Liberal International, bukannya ahli bersekutu.
“Mengapa ada tidak ada konsistensi antara ketiga-tiga penerangan pemimpin PKR? Parti Gerakan sendiri lebih baik kerana mengaku ahli tetapi tidak bersetuju dengan pendirian pertubuhan ini tentang Israel.
“Tidaklah parti Gerakan mahu putar belit dan bohong kepada rakyat Malaysia. Tapi PKR bermula dengan pembohongan oleh Fahmi Fadzil,” katanya dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen di sini hari ini.
Pagi tadi, Anwar di Dewan Rakyat menegaskan, PKR tidak pernah menjadi anggota pertubuhan antarabangsa, Liberal International.
Beliau menyeru supaya isu tersebut tidak dipolitikkan.
“Soal liberal international, Yang Berhormat boleh semak kita tidak pernah menjadi anggota.
“Kita pada peringkat awal (menjadi) associate, tapi oleh kerana ada beberapa keputusan mereka termasuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta pendirian (menyokong) Israel, kita tidak menjadi ahli,” katanya.
Pada 3 November lalu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil telah menafikan dakwaan bahawa partinya menjadi ahli kepada Liberal International. – UTUSAN










