GURUN: Seorang bapa cemas apabila seorang lelaki warga Nepal bertindak melarikan anak perempuannya berusia tiga tahun sebelum mengacukan pisau ke leher kanak-kanak terbabit dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Jeniang, di sini pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu berlaku ketika kanak-kanak itu ditinggalkan di atas motosikal sementara bapa mangsa berusia 31 tahun mahu mengambil tempahan roti canai di kedai tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, motosikal tersebut diletakkan di tepi jalan pada jarak kira-kira enam meter dari kedai berkenaan.
Katanya, suspek berusia 26 tahun bertindak meluru ke arah mangsa yang ditinggalkan bersendirian dan mendukungnya sebelum mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau pada leher mangsa.
“Menurut saksi, suspek dilihat bercakap dalam bahasa tidak difahami iaitu bahasa Nepal. Dia seperti mahu meminta wang untuk makan daripada bapa mangsa yang berada di hadapan suspek ketika itu. Bapa mangsa yang panik cuba menenangkan anaknya serta memujuk supaya suspek menyerahkan semula mangsa selama kira-kira dua hingga tiga minit.
“Dalam usaha mencari peluang ketika suspek leka, orang awam yang turut menyaksikan kejadian telah berjaya menarik tangan suspek dari arah belakang dan terus menangkapnya. Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Kata Zaidy, hasil semakan yang dibuat, satu laporan telah dibuat oleh majikan suspek pada 8 November lalu menyatakan suspek telah melarikan diri daripadanya.
“Siasatan awal yang dijalankan, suspek masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang sejak sebulan lalu dan akibat tekanan kerja yang dihadapi, suspek telah melarikan diri daripada majikannya.
“Soal siasat awal, motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan kerana sudah beberapa hari tidak makan,” ujarnya.
Tambahnya, suspek ditahan bersama sebilah pisau berukuran 22 sentimeter serta kad pekerja tertera namanya, manakala kanak-kanak terbabit dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya. –UTUSAN