LUMUT: Seorang lelaki yang memandu pacuan empat roda bertindak agresif apabila melanggar sebuah motosikal sehingga meletup, kemudian cuba melanggar anggota polis serta menghimpit seorang pegawai dan anggota polis bermotosikal sehingga cedera, petang semalam.
Kejadian itu berlaku di kawasan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Seri Manjung, kira-kira pukul 5.30 petang.
Lelaki tersebut yang disyaki kurang siuman bagaimanapun berjaya ditahan di jalan belakang Stesen Bas Seri Manjung manakala pacuan empat roda miliknya dirampas, kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, terdahulu seorang pegawai kanan polis berusia 34 tahun melihat seorang lelaki berusia 32 tahun memandu pacuan empat roda dalam keadaan laju melanggar sebuah motosikal sehingga terperosok di bawah pikap tersebut.
“Suspek kemudian menyeret motosikal tersebut pada jarak antara 50 hingga 100 meter menyebabkan motosikal itu meletup dan terbakar,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, bimbang suspek mungkin akan bertindak agresif terhadap orang awam, pegawai polis itu dengan bantuan beberapa anggota polis yang bertugas cuba menahan kenderaan itu tetapi suspek bertindak cuba melanggar mereka tetapi berjaya mengelak.
Jelasnya, pegawai tersebut dan anggota polis bertugas kemudian menaiki motosikal bagi mengekori suspek yang memandu dalam keadaan berbahaya.
Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya, pegawai itu kemudian mengarahkan suspek berhenti namun suspek menghimpit pegawai dan anggota polis tersebut sehingga terjatuh dan cedera.
Menurut Mohamed Nordin, kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi terhadap kejadian itu sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fariq Nazmi Mohd. Mustafa di talian 013-3317099. – UTUSAN