PETALING JAYA: Polis mengesan seorang lelaki yang kencing di tiang tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Subang Jaya di sini sehingga tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, anggota polis yang bertugas di Balai Polis USJ8 melihat satu rakaman video yang tular berdurasi 50 saat berkenaan menunjukkan seorang lelaki sedang kencing di tiang tempat letak kenderaan pasar raya terbabit pada Ahad lalu.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 16 November lalu melibatkan suspek disyaki lelaki memakai baju warna hitam dan seluar pendek warna kelabu kencing di tepi tiang tempat letak kenderaan seterusnya beredar ke arah kereta Mazda warna biru.
“Kejadian itu berlaku di sebuah pasar raya yang terletak di Subang Jaya.
“Di dalam rakaman video itu, terdapat perbualan di antara perakam dengan suspek yang mengatakan terdapat tandas dan suspek hanya menjawab minta maaf seterusnya beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, kes diklasifikasikan sebagai kelakuan aib mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955 (Akta 336).
Susulan itu, jelas beliau, suspek dikenal pasti dan masih dikesan bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan aib dan kegusaran kepada orang awam,” katanya.
“Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau pegawai penyiasat, Inspektor Norhishamuddin Hamdan di talian 010-2494819,” katanya. – UTUSAN