KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga penganjur konsert Nada Danau, Umar Uzair meluahkan rasa kecewa terhadap sikap artis yang acuh tak acuh dalam melunaskan komitmen seperti yang dipersetujui untuk konsert tersebut.
Tanpa memetik mana-mana penyanyi, Umar mengakui kesal dengan artis berkenaan yang baginya memberikan komitmen yang tidak setara dengan bayaran yang telah dipersetujui.
“Sebagai seniman, saya amat suka menghargai setiap undangan dengan menghormati penganjur dan penganjuran.
“Sebagai penganjur acara, saya tak minta dihormati oleh artis yang saya sendiri pilih untuk ikut serta.
“Tapi, bila artis tidak memberikan komitmen yang sepadan dengan harga, terasa amat dukacita. Lebih banyak yang tidak enak, berbanding yang enak,” tulisnya di Facebook.
Konsert Nada Danau yang dianjurkan pada 3 dan 4 November lepas di Pulau Banding, Gerik, Perak membariskan nama-nama besar antaranya pelakon Bell Ngasri, Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan ramai lagi.
Dalam luahan yang sama, Umar turut memberi teguran kepada mana-mana selebriti agar menghargai penganjur yang sudi menggunakan khidmat mereka dalam sesebuah konsert dan berlaku adil dengan memberikan sepenuh komitmen terhadap tugas yang sudah dijanjikan.
“Kepada selebriti dan seniman yang terkenal (apatah lagi yang tidak), selain peminat, hargailah penganjur dan penganjuran kerana ia sebahagian daripada jalan untuk berkongsi rezeki.
“Tidak ada sebab untuk berasa ‘atas’ kerana penghujungnya kita adalah pekerja seni yang dibayar atas perkhidmatan yang ditawarkan.
“Aina Abdul tetap juara di hati saya, selainnya biarlah menjadi rahsia yang membungkam,” tulisnya lagi.