Lebih 1.5 juta mangsa kekejaman Israel dalam 30 hari

Lebih 1.5 juta mangsa kekejaman Israel dalam 30 hari

Orang ramai mengeluarkan kanak-kanak yang terperangkap dalam runtuhan bangunan akibat serangan bom tentera Israel di Rafah dekat selatan Gaza, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat dunia terus mengutuk kekejaman Zionis dengan lebih 1.5 juta rakyat Palestin dilaporkan menjadi mangsa dalam tempoh 30 hari ini ekoran pengeboman berterusan dan serangan udara khususnya di Semenanjung Gaza.

Sejak Zionis melancarkan serangan balas selepas Hamas membedil 5,000 roket ke atas Israel pada 7 Oktober lepas, tentera Israel dipercayai membunuh 10,022 orang, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita.

Mereka juga dilapor mencederakan 25,408 orang dan menjadikan kira-kira 1.5 juta yang lain sebagai pelarian di wilayah sendiri selepas terpaksa berpindah dari utara ke selatan Gaza.

Pejabat Media Pihak Berkuasa Palestin melaporkan, lebih 200,000 kediaman di Semenanjung Gaza rosak manakala lebih 40,000 unit musnah sepenuhnya atau tidak boleh didiami.

Selain itu, 220 sekolah, 88 bangunan kerajaan dan tiga gereja dilaporkan mengalami kerosakan teruk, manakala 56 masjid pula musnah sepenuhnya.

“Kira-kira dua peratus daripada jumlah penduduk Semenanjung Gaza menjadi mangsa pencerobohan itu sama ada sebagai syahid atau cedera.

“Secara purata, hospital Semenanjung Gaza menerima seorang pesakit yang cedera setiap satu minit sejak pencerobohan bermula, manakala 15 individu dianggarkan terbunuh setiap ja,” kata kenyataan itu.

Semenanjung Gaza ketika ini juga diibaratkan sedang menghadapi krisis kemanusian terburuk selepas 2.3 juta penduduknya terkepung dalam ‘penjara terbuka’ berkeluasan 365 kilometer persegi itu.

Tahap keselamatan mereka bukan sahaja semakin meruncing, tetapi terus tertekan dengan ketiadaan barangan keperluan asas seperti makanan, bekalan air bersih mahupun bahan api.

Sementara itu Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia menyifatkan, semua pihak yang boleh melihat penderitaan dihadapi rakyat Palestin ketika ini melalui kedua-dua belah matanya perlu menzahirkan sokongan mereka.

Katanya, ia penting bagi memastikan pencerobohan dan keganasan Israel terus berlarutan tanpa sebarang noktah.

“Semua yang percaya kepada hak asasi manusia, semua negara yang sokong perjuangan Palestin, semua negara yang percaya kepada keadilan, yang percaya kepada undang-undang antarabangsa, sama ada mereka dari Amerika Latin, Afrika, Asia atau negara Arab mahupun sesiapa sahaja yang boleh melihat melalui kedua-dua belah matanya amat dialu-alukan untuk menunjukkan sokongan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menyaksikan Malaysia antara 120 negara yang menyokong resolusi menghentikan segera serangan rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Namun, Amerika Syarikat, Israel dan Croatia antara 14 negara yang menentang, manakala 45 lagi negara memilih untuk berkecuali.

Bagaimanapun, Israel tetap berkeras dan menolak gesaan antarabangsa yang semakin meningkat untuk gencatan senjata di Gaza itu.

Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu memberikan alasan supaya Hamas memulangkan semua lebih 240 tebusan yang ditawan semasa serangan 7 Oktober lepas.

Netanyahu juga memberi amaran akan meneruskan peperangan dengan pejuang Hamas.

Dalam pada itu, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan menyifatkan, respons masyarakat dunia berada pada tahap yang memuaskan selepas sering berbeza pendirian dengan pemimpin mereka berhubung dengan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Menurut beliau, ini boleh dilihat apabila warga Amerika serta penduduk negara-negara Eropah sendiri tidak berpuas hati dengan keputusan mahupun pendirian yang diambil oleh pemimpin masing-masing.

“Ini perlu diteruskan kerana bagi saya tekanan yang paling efektif adalah tekanan dari dalam kerana ia membawa implikasi politik tempatan.

“Misalnya, apabila masyarakat Amerika memaksa protes Presiden mereka supaya membuat keputusan betul.

“Ini memberi tekanan politik dalaman yang dapat dikatakan menggugat kedudukan Presiden, Joe Biden yang akan menghadapi pilihan raya tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×