PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) gagal mengutip hasil pajakan tanah bagi dua projek membabitkan jumlah RM11.49 juta.
Ia antara isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan.
Menurut laporan itu, ia membabitkan projek pembangunan Hotel St. Regis sebanyak RM3.19 juta sejak 2018.
“Selain itu, pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak tahun 2003,” kata laporan itu.
LADA ditubuhkan pada 15 Mac 1990 sebagai sebuah badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 (Akta 423).
LADA adalah agensi utama yang berperanan membangun dan memajukan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
LADA melaksanakan pelbagai projek pembangunan hartanah seperti produk dan kemudahan pelancongan, projek pelaburan swasta dan infrastruktur awam serta sosioekonomi di Langkawi selaras dengan fungsinya di bawah Seksyen 4, Akta LADA 1990. – UTUSAN










