KPM tumpu bina karakter murid, UPSR tidak sesuai ketika ini - Pkharuddin

UPSR tidak sesuai ketika ini, KPM tumpu bina karakter murid – Pkharuddin

PKHARUDDIN GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana ia dilihat menyekat usaha membentuk karakter, keupayaan dan jati diri seorang murid.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, ketika ini, KPM mahu setiap murid itu diberi tambah nilai dari segi pembinaan karakter sebagai benteng menghadapi dunia tanpa sempadan ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengatakan peperiksaan itu tidak baik tetapi pada masa ini aspek tambah nilai kepada murid itu yang lebih utama.

“Kita faham bahawa dengan cabaran dunia tanpa sempadan ketika ini ditambah pendedahan terhadap gajet dan internet, ia menyebabkan nilai berkenaan tiada dalam diri mereka (murid).

“Hari ini kita lihat anak-anak ini tidak berada dalam masyarakat tetapi mereka berada dalam dunia mereka sendiri dengan gajet yang mengajar pelbagai perkara,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, beliau mengakui KPM sendiri tercari-cari kaedah sesuai bagi menggantikan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) selepas negara berdepan pandemik Covid-19 sekitar tiga tahun lalu.

Pkharuddin berkata, ketika itu, tercetuslah idea untuk memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi kemasukan ke sekolah khusus dan berasrama.

Menurutnya, selepas tiga tahun dilaksanakan, pihaknya melihat PKSK sebagai instrumen sesuai bagi menilai murid termasuk kecenderungan dan keupayaan darjah kecerdasan (IQ) mereka.

“Malah, pengetua sekolah khusus dan berasrama juga mengakui peperiksaan itu berjaya membantu menyesuaikan murid di sekolah berkenaan,” katanya.

Katanya, beliau sendiri terlibat dengan pengurusan peperiksaan selama 20 tahun di Lembaga Peperiksaan dan mengakui ia tugas sukar untuk menyandarkan keupayaan pelajar tanpa peperiksaan.

Jelasnya lagi, pengupayaan murid di peringkat rendah ketika ini dijangka dapat mempersiapkan murid untuk ke peringkat sekolah menengah dan kemudiannya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada 28 April tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala pada tahun yang sama Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) turut dibatalkan.

Selaras dengan pemansuhan berkenaan, Mohd Radzi berkata, pihaknya akan melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terbabit.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya