KPKT kenal pasti 77 projek perumahan sakit di Pahang

KPKT kenal pasti 77 projek perumahan sakit di Pahang

AKMAL NASRULLAH MD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 77 projek perumahan berlesen yang dikategorikan ‘projek sakit’ di seluruh negeri Pahang.

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, selain itu, pihaknya turut mengenal pasti sembilan buah projek perumahan terbengkalai.

Katanya, semua projek sakit dan terbengkalai tersebut adalah projek berlesen di mana satu daripada projek tersebut adalah di bawah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan selebihnya adalah swasta.

“Daripada jumlah projek sakit yang dikenal pasti itu, KPKT berjaya menyelesaikan 51 projek sakit di mana 47 daripadanya berjaya mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan selebihnya berjaya melancarkan kembali gerak kerja dan projek berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke projek perumahan swasta di PR1MA Residensi D’Marina @ Pinggiran Putra 2, dekat sini, hari ini. 

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga turut  memberikan komitmen penuh bagi menyelesaikan kesemua baki 13 projek sakit PR1MA di seluruh negara sebelum penghujung 2024.

“Ini termasuklah sebuah projek di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia iaitu PR1MA Residensi D’Marina @ Pinggiran Putra 2 dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) iaitu Taman 1-Icon yang terletak di Kuala Kuantan, Kuantan yang dimajukan oleh pemaju swasta Evocon Properties Sdn. Bhd.

“Isu tertangguh bagi projek PR1MA terbabit hanyalah berkaitan Loji Rawatan Kumbahan (STP) dan Stesen Pam Penghubung (NPS) yang masih belum selesai.

“Bagi PPAM pula, ia berpunca daripada masalah infrastruktur yang masih belum lengkap dan perlu menjalani pemeriksaan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK),” katanya.

Selain itu, katanya, KPKT turut mengenal pasti punca sebenar wujud projek-projek sakit menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditubuhkan dan akan melakukan libat urus dengan agensi berkenaan.

“Kita kena faham jenis-jenis masalah dan barulah boleh cari penyelesaian. Kalau di Pahang, nak kata semua masalah daripada pemaju pun tak boleh. Ada kerangka jenis-jenis masalah yang kita dah kenal pasti.

“Namun, kami memberikan penegasan kepada pemaju untuk menyiapkan kesemua projek yang dijalankan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal memaklumkan bahawa KPKT mengeluarkan pekeliling kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar melakukan penyelenggaraan sistem perparitan dan longkang di kawasan masing-masing.

Ia selari dengan pengumuman MET Malaysia tentang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula Sabtu ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN