PETALING JAYA: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menepati janjinya selepas menjadi Perdana Menteri untuk melakukan reformasi institusi.
Khairy berkata, reformasi institusi sepatutnya menyaksikan semua wakil rakyat mendapat peruntukan yang sama rata, bukan dapat apabila menyatakan sokongan sahaja.
“Bagi saya itu bukan reformasi institusi, perlu bagi pada semua. Bukan kena datang, jangan sombong, bincang elok. Itu bukan reformasi institusi.
“Kalau reformasi institusi, mesti diinstitusikan bahawa selagi dia adalah wakil rakyat yang sah dipilih dalam pilihan raya, beliau layak untuk menerima peruntukan sama-rata.
“Inilah perkara yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan rakan-rakan beliau sewaktu mereka berada di dalam pembangkang,” katanya pada podcast Keluar Sekejap yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Terdahulu media melaporkan, empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) iaitu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan, Zahari Kechik (Jeli).
Suhaili mendedahkan selepas kira-kira seminggu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, beliau mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN