Kerajaan tidak gagal isu lantikan menteri -Fuziah  

Kerajaan tidak gagal isu lantikan menteri -Fuziah  

FUZIAH SALLEH meninjau treler yang membawa barang keperluan sempena Pelancaran Program Jualan Rahmah Siswa dan Advokasi Pengguna Peringkat Kebangsaan Bersama Institusi Pengajian Tinggi di UUM, Kubang Pasu Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang belum terisi tidak menjejaskan hala tuju dan gerak kerja kementerian itu terutama menangani kenaikan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga calon Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman tentang kegagalan Perdana Menteri ekoran jawatan itu masih tidak terisi adalah tidak tepat. 

“Saya tidak rasa kerajaan gagal kerana program dan hala tuju kementerian tidak terjejas walaupun tiada menteri penuh kerana kita masih ada pemangkunya. Saya tidak melihat ia satu kegagalan kepada Perdana Menteri, mungkin ada sesuatu yang kita tidak tahu maksud tersirat kepada beliau. 

“Cuma, saya ingin tegaskan di bawah kerja KPDN tidak terjejas walaupun kita terpaksa buat kerja tambahan tetapi dasar berjalan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program sempena Pesta Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini. 

Beliau mengulas tentang kenyataan Menteri Besar Terengganu itu semalam bahawa ketiadaan pengganti bagi mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu merupakan kegagalan Kerajaan Persekutuan. 

Bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada Julai lepas dan jawatan tersebut kini dipangku oleh Datuk Armizan Mohd Ali. 

Fuziah menambah, pelantikan jawatan tersebut adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. 

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, KPDN mensasarkan 10,000 warga universiti terutama pelajar menyertai program Advokasi Pengguna Peringkat Kebangsaan Bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT). 

“Sasaran kita adalah menyantuni sebanyak 10,000 pelajar untuk meningkatkan lagi pendedahan berkaitan hak-hak pengguna dalam kalangan warga universiti daripada golongan asnaf.  

“Selain itu, kita lancar Jualan Rahmah Siswa bertujuan memberi peluang kepada seluruh warga terutama mahasiswa supaya membeli barang keperluan asas pada harga mampu milik,” katanya. 

Beliau menambah, program Jualan Rahmah Siswa tersebut berkonsepkan kedai runcit bergerak ke kawasan kampus di seluruh negara. 

“Sebanyak 30 jenis barang keperluan asas disediakan melalui program ini yang ditawarkan pada harga antara 20 hingga 30 peratus lebih rendah,” jelasnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya