Kerajaan Perpaduan berada pada keadaan paling stabil ketika ini

Kerajaan Perpaduan berada paling stabil ketika ini -Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada pada keadaan paling stabil ketika ini, malah, sokongan rakyat terhadap kerajaan juga berada pada status quo.

Itu jawapan diberikan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai reaksi kepada dapatan dan laporan kaji selidik oleh Merdeka Center mengenai tahap prestasi Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Rafizi berkata, dapatan bahawa Kerajaan Perpaduan kekal stabil itu diperolehi daripada badan kaji selidik dalaman milik PKR sendiri.

“PKR juga mempunyai badan soal selidik dalaman dan ia (badan selidik)  yang membimbing PKR sejak 2016 hingga berjaya membentuk kerajaan.

Namun, bacaan data itu dahulunya kami siarkan, tetapi kini, kami simpan sebagai ‘senjata’.

“Kajian dalaman itu mendedahkan populariti Perdana Menteri tinggi selepas ambil alih kerajaan dan kekal tinggi sehingga Mei sebelum menurun sedikit sekitar Julai hingga Ogos selepas isu kejatuhan matawang dimainkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Namun, populariti kerajaan meningkat selepas beberapa dasar ekonomi diumumkan sekitar September hingga Oktober namun, keadaan kembali mendatar antara Oktober hingga November,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan perasmian pada Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di sini, hari ini.

Katanya, pada pandangan parti, Kerajaan Perpaduan secara keseluruhannya kekal utuh dan prestasi serta popularitinya berada pada status quo.

Mengulas dapatan Merdeka Center itu, Rafizi berkata, kaji selidik itu perlu dilihat secara siri masa dan dibuat perbandingan antara pimpinan tiga Perdana Menteri sebelum Anwar.

Katanya, jika mahu dibuat perbandingan maka, tahap prestasi pimpinan Anwar adalah lebih baik berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terutama dalam tempoh enam bulan hingga setahun pentadbiran.

“Saya tahu sebarang kaji selidik akan menjadi modal politik namun, untuk menilai suasana sebenar kita perlu membandingkan pola sokongan itu dengan pimpinan kerajaan sebelum ini.

“Itu bukan perkara yang asing dan keadaan sama dialami dalam mana-mana konteks pentadbiran kerajaan lain di dunia termasuk Amerika Syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau juga tidak rasa Perikatan Nasional (PN) akan mengekalkan momentum yang ada sebelum ini iaitu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Tapi momenteum rakyat sekarang termasuk penyokong pembangkang telah mula melihat bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan jatuh dan kekal sampai lima tahun,” katanya.

Katanya, situasi terkini dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga bakal memberi kesan kepada rakan komponennya iaitu Pas kerana kebiasaannya Pas akan mencari rakan sekutu baharu jika melihat kesatuan sedia ada semakin melemah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN