Kerajaan Perlis rombak, susun semula portfolio Exco - Utusan Malaysia

Kerajaan Perlis rombak, susun semula portfolio Exco

TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan watikah pelantikan sebagai Exco kepada Asrul Aimran Abd Jalil dalam majlis angkat sumpah di Istana Arau hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pentadbiran kerajaan negeri menyaksikan rombakan dan penyusunan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) menerusi majlis angkat sumpah yang berlangsung hari ini.

Majlis berkenaan berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau Istana Arau di sini di mana setiap daripada mereka menerima watikah pelantikan daripada baginda.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Penasihat Undang-Undang Kerajaan negeri, Mohd Radhi Abas dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan.

Menerusi majlis angkat sumpah itu, barisan Exco bagi penggal ini menyaksikan pertambahan seorang anggota baharu manakala seorang lagi menggantikan penyandang jawatan berkenaan.

Pelantikan baharu itu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak manakala ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd. Jalil pula menggantikan ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail.

Selain itu, lima Exco lain yang dikekalkan ialah Izizam Ibrahim, Muhammad Azmir Azizan, Wan Badariah Wan Saad, Megat Hashirat Hassan dan Razali Saad.

Menerusi majlis angkat sumpah itu, komposisi Exco yang dilantik terdiri daripada tiga ADUN Bersatu manakala selebihnya merupakan kuota wakil rakyat Pas.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, pelantikan Wan Zikri sebagai Exco adalah bagi memenuhi kuota parti Bersatu manakala Asrul pula dipilih bagi menerajui badan bukan kerajaan (NGO) yang terdapat di dalam Parlimen Kangar.

Katanya, pemilihan barisan Exco terdiri daripada golongan muda tidak menimbulkan masalah selagi mana setiap pihak dapat bekerjasama dan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Menerusi pelantikan ini, kita ubah suai portfolio sedia ada dan melakukan agihan supaya tidak terlalu berat tugas ditanggung oleh setiap Exco terlibat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya