Kerajaan belanja RM5 bilion setahun akibat gula

Kerajaan belanja RM5 bilion setahun akibat gula

Kerajaan disaran menaikkan cukai gula dalam usaha mengurangkan bilangan pesakit diabetes di Malaysia. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan terpaksa membelanjakan RM5 bi­­lion setahun bagi merawat pesa­kit diabetes akibat kecenderungan rakyat suka makanan bergula dan manis.

Peningkatan jumlah pesakit diabetes membimbangkan kerana ketika ini sahaja kira-kira 3.9 juta rakyat dewasa dikesan menghidap penyakit berkenaan dan bilangannya dijangka me­ningkat lima peratus lagi dalam masa terdekat.

Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan meningkatkan cukai gula atau mengapungkan harga gula bersubsidi kepada antara RM3.50 hingga RM3.60 mengikut pasaran semasa dunia.

Malaysia mencatatkan harga runcit gula paling rendah di rantau ASEAN dengan harga RM2.85 untuk satu kilogram, malah merupakan antara te­rendah di dunia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sha­rifa Ezat Wan Puteh berkata, sebanyak 13 peratus daripada peruntukan RM36.3 bilion belanjawan kepada Kementerian Kesihatan tahun ini semata-mata untuk merawat penyakit diabetes sedangkan RM4.9 bi­lion boleh digunakan untuk tujuan lain.

Menurut beliau, jumlah itu tidak termasuk komplikasi penyakit diabetes lain seperti sakit jantung, darah tinggi, kanser dan karies gigi.

“Jumlah ini mencecah RM5 bilion kerana mempunyai beban kencing manis kedua ter­tinggi dunia. Ini dikira secara purata melibatkan hampir 3.9 bilion individu dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes.

“Ini menyebabkan kos rawatan yang tinggi kerana ramai yang menerima rawatan di fasiliti kesihatan awam yang rata-rata terima subsidi kerajaan.

“Jika jumlah pengidap kencing manis terus meningkat, maka beban kerajaan untuk merawat pesakit diabetes akan terus meningkat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, kerajaan membelanjakan RM4.9 bilion setahun bagi melaksanakan usaha menangani penyakit diabetes yang dilihat begitu membimbangkan dan dianggarkan ketika ini 3.9 juta rakyat dewasa menghidap penyakit berkenaan.

Berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati hampir satu daripada lima individu di Malaysia menghidap kencing manis, malah jumlah menunjukkan peningkatan iaitu daripada 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019.

Sebaliknya kos berkenaan dapat dikurangkan jika masyarakat dapat diberikan pendidikan kesihatan dengan baik sejak dari awal lagi.

Dalam pada itu, Dr. Sharifa Ezat berkata, langkah kerajaan untuk meningkatkan cukai minuman manis dinaikkan da­ripada 40 sen ke 50 sen dilihat tepat pada masanya bagi me­ngurangkan kandungan bahan tersebut sama ada tersembunyi atau terang-terangan dalam makanan atau minuman.

Katanya, masyarakat juga perlu peka untuk mengurangkan gula dalam makanan pada setiap hari termasuk mengamalkan  gaya hidup sihat.

“Jika perkara ini gagal ditangani, kos subsidi untuk kesihatan rakyat akan terus meningkat jika  terus dibebani dengan komplikasi kencing manis seperti buah pinggang. Malah kini sudah banyak pusat dialisis di Malaysia tetapi belum cukup.

“Oleh demikian di samping usaha kerajaan, rakyat sendiri perlu menjalani gaya hidup sihat termasuk kekal aktif sesuai umur, berat badan ideal, senaman, berhenti merokok dan mengurangkan stress,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN