PUTRAJAYA: Seorang doktor berketurunan India yang bertugas di Sarawak mempersoalkan sikap dwistandard kerajaan dan layanan berbeza terhadap penjawat awam dalam pemberian cuti umum.
Ia berikutan keputusan kerajaan memberikan cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali yang jatuh pada 13 November (Isnin) dibawa ke 14 November (Selasa) bagi pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu di negeri-negeri yang hari kelepasan mingguannya adalah Ahad.
Bagaimanapun, kemudahan itu dikecualikan di Sarawak kerana peruntukan cuti tanpa rekod sempena Deepavali tidak terpakai kepada negeri itu memandangkan perayaan berkenaan bukan Hari Kelepasan Am.
Menurut pegawai perubatan berkenaan kepada Utusan Malaysia, ramai di antara golongan itu berketurunan India dari semenanjung sanggup dihantar bertugas ke Sarawak untuk membantu kekurangan kakitangan dengan kebanyakannya guru, doktor dan polis.
“Kami dihantar begitu jauh dari kampung halaman untuk berkhidmat kepada Sarawak tetapi hanya sekali setahun kami menyambut perayaan Deepavali yang jatuh pada hari Ahad, mereka tidak mempunyai keihsanan untuk memberikan cuti tanpa rekod,” katanya di sini semalam.
Dalam satu surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, peruntukan cuti tanpa rekod adalah terikat kepada hari yang dibenarkan sahaja dan tidak boleh dibawa ke hari berikutnya sekiranya cuti tanpa rekod itu jatuh pada hari kelepasan am atau hari kelepasan am mingguan.
Namun begitu, kerajaan pada 3 November lalu bersetuju untuk memberi pengecualian bagi tahun 2023.
Pegawai perubatan itu berkata, layanan berbeza antara negeri itu adalah satu tindakan diskriminasi kepada penjawat awam dari semenanjung yang bersedia untuk bertugas di Sarawak, jauh daripada keluarga.
Katanya, situasi itu boleh memburukkan lagi potensi petugas perubatan untuk menolak tawaran bertugas ke negeri ini dalam keadaan kekurangan kritikal petugas kesihatan terutama di Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanakah anda mengharapkan orang India bertugas ke Sarawak jika memberikan layanan tidak adil dalam perkara ini? Deepavali hanya setahun sekali tetapi kita tidak dapat cuti tanpa rekod kerana ia jatuh pada hari Ahad?
“Bagaimanakah anda boleh mengharapkan kami bersedia untuk meninggalkan keluarga untuk berkhidmat dan tidak ada gunanya merungut tentang keengganan kumpulan doktor menerima jawatan di Sarawak sedangkan anda melayan kami begini,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni memberitahu, sekurang-kurangnya 200 doktor yang gagal melapor diri atau menolak jawatan kontrak untuk berkhidmat di Sarawak.
Doktor itu antara 800 yang ditawarkan jawatan kontrak oleh Kementerian Kesihatan. – UTUSAN










