KEMAMAN: Kemenangan majoriti besar yang diterima Pas di kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRK15) lalu tidak boleh dijadikan kayu pengukur bagi menghadapi Pilihan Raya Kecll (PRK) Parlimen itu pada 2 Disember ini.
Menteri Besar Terengganu yang juga calon Pas Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertandingan dalam PRK ini, suasana berbeza kerana parti lawan akan berusaha keras untuk merampas semula Parlimen tersebut.
Malah katanya, statusnya sebagai Menteri Besar juga bukan jaminan yang kukuh untuk mencapai kemenangan dengan mudah.
“Saya selalu sebut dalam mana-mana pilihan raya, dia macam main bola, selagi tak habis wisel penamat selagi itu kena berlari.
“Kita jangan berasa selesa, (sebaliknya) kena terus bekerja hingga titik terakhir (2 Disember),” katanya ketika berkempen di Geliga sini semalam.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau juga menghormati calon parti lawan yang dihadapi dalam PRK ini.
Katanya, calon Barisan Nasional (BN) yang dipertaruh itu juga merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hebat.
“Walaupun mendapat respons positif daripada rakyat di kawasan itu namun kerja keras perlu dilakukan bagi memastikan pengundi terus menyokong Pas,” katanya.
Dalam PRU15, Che Alias Abd. Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi selepas meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias Abd. Hamid pada PRU15. – UTUSAN