Keluar duit poket beli bot hadapi banjir

Keluar duit poket beli bot hadapi banjir

BOT yang dibeli Mohd. Saiful Anuar Ismail kini dapat digunakan ahli keluarga ketika banjir melanda Kampung Serongga, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang lelaki dari Kampung Serongga di sini, sanggup mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM3,000 untuk membeli sebuah bot dan enjin minggu lalu bagi menghadapi banjir tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Che Rohana Ismail, 56, berkata, adiknya Mohd. Saiful Anuar Ismail, 30, membuat keputusan itu selepas iktibar pengalaman tahun lepas apabila air banjir naik secara mendadak di kawasan rumahnya sehingga mencetuskan situasi cemas.

Katanya, dia bimbang keselamatan ibunya, Haminah Che Noh, 72, yang sudah uzur dan tidak dapat berjalan selain anak-anak Mohd. Saiful yang masih kecil ketika berdepan bencana banjir.

“Air banjir naik secara mendadak di rumah kami tahun lalu. Kami sekeluarga hanya mampu berdoa dan menunggu kedatangan anggota penyelamat.

“Saya tidak mahu situasi itu berulang dan membuat keputusan membeli bot berharga RM3,000 untuk kegunaan semasa banjir tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Che Rohana berkata, dia dan adiknya membeli bot sendiri supaya dapat bertindak cepat untuk berpindah.

“Banjir kali ini tidak seburuk tahun lalu, namun kami tetap berwaspada. Kami sudah bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara terdekat kerana halaman rumah sudah digenangi air 0.3 meter,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN