ARAU: Penarafan atau ranking universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) bukan pengukur kecemerlangan sesebuah institusi sebaliknya keupayaan melahirkan graduan yang laris di pasaran kerja selepas tamat pengajian.
Malah majikan lebih mengutamakan graduan yang mempunyai kepakaran bukannya semata-mata merujuk terhadap ranking sesebuah universiti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, sebagai contoh, Unimap antaranya merekodkan hampir 100 peratus Kebolehpasaran Graduan (GE) setiap tahun.
Katanya, Unimap cukup memberi keutamaan dari segi GE terutamanya dalam melahirkan tenaga kerja mahir.
Menurut beliau, sebagai universiti berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Unimap banyak melahirkan tenaga kerja berkualiti dan cukup laris di pasaran.
“Keputusan untuk memilih universiti tidak semestinya hanya berdasarkan ranking tetapi juga dengan melihat faktor seperti program pengajian, reputasi fakulti, keperluan peribadi dan suasana kampus.
“Ranking boleh dijadikan rujukan untuk melihat kedudukan sesebuah universiti namun apa yang lebih penting keupayaan melahirkan graduan berkualiti dan mendapat tempat dalam pasaran kerja. Ranking lebih kepada rujukan pelajar luar memilih universiti,” katanya.
Sebelum ini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) supaya tidak terlalu taksub dalam mengejar kedudukan atau ranking universiti terbaik peringkat antarabangsa.
Zaliman berkata, langkah Unimap komited mengadakan kerjasama dengan industri banyak membantu graduan mendapat pekerjaan.
Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berpendapat, sistem penarafan universiti masih relevan terutamanya untuk mengetahui kedudukan IPT itu, sama ada di peringkat Asia atau dunia.
“Ketelusan (memberi ranking) itu adalah di luar kawalan universiti, tetapi difahamkan ia ada kriteria-kriteria tertentu. Pada dasarnya, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada IPT terlibat untuk mengetahui kedudukan mereka,” katanya.
Menurut Haim Hilman, sistem penarafan boleh ditambah baik jika terdapat kelemahan tetapi secara umumnya memberikan satu gambaran di mana institusi-institusi itu memiliki kekuatan terhadap penyelidikan, penerbitan atau pelajar antarabangsa.
Kata bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, terdapat kriteria-kriteria yang diguna pakai untuk menetapkan ranking bersifat terbuka yang boleh dinilai dan disemak semula. – UTUSAN










