Kastam rampas rokok seludup RM4.1j diisytihar sebagai mi segera - Utusan Malaysia

Kastam rampas rokok seludup RM4.1j diisytihar sebagai mi segera

JKDM Pulau Pinang membongkar cubaan menyeludup rokok dalam sebuah kontena muatan bungkusan mi segera dengan nilai termasuk cukai lebih RM4.1 juta di Pelabuhan Klang, Selangor, 26 Oktober lalu. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar cubaan menyeludup rokok yang dimuatkan dalam sebuah kontena berisi bungkusan mi segera dengan nilai termasuk cukai lebih RM4.1 juta dalam pemeriksaan di Pelabuhan Klang, Selangor, 26 Oktober lalu.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, kejayaan itu susulan pemeriksaan sepasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan negeri bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM kira-kira pukul 3.15 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 1,832 kotak bertanda ‘Instant Noodles’ yang mengandungi rokok putih disyaki tidak berkastam yang dicampur bersama dagangan mi segera.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengikrar dagangan sebagai mi sup dan disorokkan dalam kotak bertanda mi segera.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 5,771,520 juta batang rokok melibatkan nilai anggaran RM461,721.60 dan cukai berjumlah RM3,698,390.02 berjaya dirampas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kontena terbabit dikendalikan sebuah syarikat perkapalan dan syarikat penghantaran dan logistik yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

“Menerusi dokumen yang diperolehi, dagangan ini disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Barat dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Susulan itu, seorang pengarah syarikat penghantaran dan logistik berusia 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati, lelaki terbabit tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan dibebaskan dengan jaminan selepas keterangannya selesai dirakamkan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) dan Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksesais 1976.

Dalam pada itu, katanya, JKDM memerlukan bantuan awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan.

Jelas beliau, aduan boleh dibuat dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dengan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya