ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada kira-kira 5,600 penjawat awamnya yang dianggap tertinggi setakat ini berbanding RM1,000 pada tahun lepas.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, RM1,000 daripada pembayaran tersebut akan dibuat pada Disember ini dan bakinya diselesaikan pada Mac 2024.
“Saya ikut Kerajaan Persekutuan, (mereka) janji RM2,000 kan? Jadi, kasihan pula kakitangan awam kerajaan negeri dapat sikit, jadi bagi samalah.
“Saya follow PMX, tak lawan lah, saya follow,” katanya dalam sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Terdahulu ketika membentangkan perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10.8 juta bagi mengagihkan bantuan secara one off itu.
Sementara, Bantuan Khas One-Off juga akan diberikan kepada imam lantikan negeri, pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) pada Mac 2024 sebagai bantuan Hari Raya Aidilfitri.
“Kadar bantuan khas ini akan ditentukan kelak. Tapi kita tak akan bayar bertindih dengan Kerajaan Persekutuan, kita tengok jika mereka sudah mendapat daripada Pusat tidak akan dapat lagi daripada negeri,” katanya. –UTUSAN