KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menjalankan kajian untuk memahami faktor penyumbang masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak yang berada di tahap membimbangkan.
Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dengan kajian dan data empirikal, kerajaan mampu mencari jalan penyelesaian berhubung kesihatan mental kanak-kanak.
“Kanak-kanak perlu didedahkan dengan asas amalan kesihatan mental yang baik. Kemahiran seperti penyelesaian masalah dan pengurusan tekanan akan membantu meningkatkan kesihatan mental mereka.
“Apabila mereka celik kesihatan mental, mereka akan berasa lebih terbuka untuk menghubungi dan mendapatkan bantuan apabila mereka memerlukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati seramai 424,000 kanak-kanak bergelut dengan masalah kesihatan mental.
NHMS 2022 mendapati, satu daripada empat remaja mengalami perasaan kemurungan dan satu daripada sepuluh remaja cuba menamatkan nyawa mereka sendiri.
Selain itu, NHMS2022 juga merekodkan, hanya 24.2 peratus remaja merasakan ibu bapa mereka dapat memahami masalah dan kebimbangan mereka.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata, adalah penting untuk memastikan sekolah mempunyai kaunselor mencukupi yang berkhidmat di sekolah rendah dan menengah.
Katanya, guru juga harus dilengkapi dengan pengetahuan asas kesihatan mental seperti kebolehan mengenali pelajar yang mengalami masalah mental dan kemahiran untuk memberi sokongan emosi.
Selain itu, katanya, peranan rakan sekelas atau pembimbing rakan sebaya perlu ditubuh di setiap sekolah kerana sesetengah kanak-kanak berasa lebih selesa berbincang dengan rakan sebaya.
“Kanak-kanak harus mempunyai ruang yang selamat untuk bercakap tentang perasaan mereka tanpa rasa takut dihakimi. Ibu bapa perlu mempunyai kesedaran tentang kesihatan mental kerana mereka memainkan peranan penting dalam membantu membangunkan kesejahteraan mental anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, ibu bapa perlu berbual tentang perasaan anak mereka bukannya hanya mengambil pendekatan menegur.
“Saya menghadapi situasi yang mana seorang kanak-kanak tidak dibenarkan mendapatkan bantuan profesional kerana ibu bapa berasa malu atau tidak mempercayai tentang kesihatan mental.
“Ibu bapa dan pendidik perlu menerapkan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab kerana banyak kajian mendapati penggunaan media sosial yang berlebihan dikaitkan dengan risiko gangguan mental lebih tinggi,” katanya. -UTUSAN