Malaysia kini sedang menyaksikan perubahan ketara dalam landskap pembangunan belia, khususnya dari sudut pemilihan kerjaya.
Dengan lebih 45 peratus daripada populasi negara terdiri daripada individu berusia bawah 40 tahun, suara, keperluan dan cita rasa generasi muda tidak lagi boleh dipandang enteng.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, belia bukan sahaja pewaris negara, malah mereka merupakan pemacu utama yang akan membentuk, mencorak dan memimpin hala tuju masa depan negara dengan semangat, idea segar serta inovasi tinggi.
Berbanding era lalu yang menyaksikan kerjaya seperti doktor, jurutera atau peguam sebagai pilihan utama, belia hari ini cenderung memilih laluan yang tidak konvensional, namun penuh potensi.
Katanya, antara trend yang semakin mendapat tempat termasuklah kerjaya dalam bidang digital dan kreatif seperti pencipta kandungan, pembangunan laman web, keusahawanan gig, syarikat pemula di samping e-sukan dan penstriman langsung.
Jelasnya, anak muda hari ini membesar dalam dunia yang dipacu oleh teknologi dan platform digital.
“Mereka celik digital sejak usia muda, terdedah kepada media sosial dan persekitaran yang menggalakkan kreativiti dan ekspresi sendiri.
“Selain itu, ramai dalam kalangan belia memilih pekerjaan yang lebih fleksibel dan tidak terikat dengan waktu kerja tetap dari pukul 9 pagi hingga 5 petang
“Keinginan untuk mencipta nilai dan identiti kendiri, serta peluang menjana pendapatan dengan cepat turut menjadi faktor utama,” ujarnya.
Sedia ekosistem sokong kerjaya baharu
Beliau percaya potensi belia hanya dapat direalisasikan jika semua pihak bersama-sama membina ekosistem yang menyeluruh dan kondusif.
Ini termasuk penyusunan semula dasar-dasar formal seperti Dasar Belia Negara dan Pelan Tindakan Belia agar merangkumi sektor digital dan kreatif secara eksplisit.
“Belia yang berminat dalam bidang penciptaan kandungan digital, usahawan media sosial atau e-sukan juga memerlukan pengetahuan dalam pemasaran digital, produksi media, hak cipta dan pengurusan jenama.
“Oleh itu, adalah penting untuk menyediakan ruang komuniti seperti studio kreatif, makmal media dan ruang sokongan untuk pembangunan idea yang mudah diakses oleh belia,” katanya.
Katanya, MBM menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui program Cabaran Pencipta Kandungan Digital DC3) dan Program Digital Freelancer.
Tetapi ia perlu diperluas secara lebih inklusif, terutama kepada belia di luar bandar dan B40.
Dalam masa sama, Mohd. Izzat Afifi menyarankan Malaysia mencontohi Korea Selatan yang telah menginstitusikan laluan pendidikan khas untuk atlet e-sukan, serta Thailand yang menubuhkan Agensi Ekonomi Kreatif menyokong pencipta kandungan tempatan.

Jurang pendidikan dan keperluan industri
Satu lagi cabaran besar yang dihadapi oleh belia masa kini ialah jurang antara ilmu yang diperoleh melalui institusi pendidikan dan kemahiran sebenar yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan.
Katanya, antara isu yang dikenal pasti termasuk kebergantungan kepada pendekatan teori, kekurangan latihan praktika serta tahap kemahiran digital dan insaniah yang masih rendah.
Bagi menanganinya, beliau berkata, MBM menyokong peluasan program latihan dual (dual training) yang menggabungkan pembelajaran dan pekerjaan.
“Kami mencadangkan agar kandungan dan struktur kurikulum di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disemak dan dikemas kini dengan kerjasama pihak industri bagi memastikan ia selari dengan keperluan pasaran kerja semasa,” katanya.
Ujar Mohd. Izzat Afifi, program pembelajaran jangka pendek yang memberi sijil kemahiran khusus juga perlu diperluaskan dan mudah diakses oleh pelajar serta graduan.
Katanya, pendekatan tersebut terbukti berjaya di Jerman, yang mencatat kadar pengangguran belia di bawah enam peratus hasil daripada sistem pendidikan mereka yang menggabungkan pembelajaran di institusi dengan latihan praktikal di industri.
Justeru, Malaysia harus segera bergerak ke arah sistem yang serupa agar graduan bukan sahaja memiliki kelulusan, tetapi juga bersedia dari segi kemahiran sebenar.
buat pilihan bijak
Bagi membolehkan belia membuat keputusan kerjaya yang berdaya saing, kata beliau, perlu adanya sistem sokongan dan bimbingan kerjaya berstruktur bermula dari bangku sekolah.
Inisiatif seperti portal MyFutureJobs yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pendedahan awal kepada bidang kerjaya digital dan teknikal harus diperkukuhkan.
Sebelum ini, MBM sendiri telah memperkenalkan Program Kerjaya & Kemahiran Sosial Belia (Prokens), bagi membimbing anak muda dalam perancangan kerjaya dan pembangunan sahsiah secara holistik.
“Sesi penerokaan kerjaya perlu dijalankan secara berkala di peringkat sekolah menengah dan IPT, seperti yang diterapkan di Australia dan Ireland.
“Ini akan membantu membangunkan sistem bimbingan kerjaya yang lebih menyeluruh, berterusan dan sesuai dengan keperluan serta potensi setiap individu.

Atasi isu pengangguran
Isu pengangguran graduan muda yang sukar mendapatkan kerja dalam bidang yang dipelajari masih membelenggu ramai belia.
Justeru, beliau melihat, pelaksanaan program latihan semula dan naik taraf kemahiran berdasarkan keperluan industri semasa, perlu diberi keutamaan.
Katanya, Malaysia perlu bertindak tangkas dalam menyesuaikan semula latihan dan kemahiran belia agar selari dengan permintaan industri yang sentiasa berubah.
Tambahnya, belia sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya inisiatif seperti Akademik Dalam Industri di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), yang menjadi pemacu utama dalam usaha memperkukuh kemahiran belia.
Selain itu, katanya, insentif kepada majikan, seperti pelepasan cukai dan geran latihan yang diumumkan dalam Bajet 2025, dapat menggalakkan pengambilan pekerja muda.
Beliau berpandangan sokongan terhadap keusahawanan berasaskan kemahiran perlu diperkasa melalui beberapa dana khas.
Usaha tersebut dapat memberi peluang kepada golongan sasar untuk membina kerjaya melalui perniagaan yang berasaskan kemahiran mereka.
Penyelarasan pekerjaan boleh dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi seperti AI dan pusat data.
Platform seperti MyFutureJobs dan MYFutureSkills memainkan peranan penting dalam membantu belia mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.
Kata beliau lagi, MBM turut menyokong pembangunan kerjaya belia dengan adanya perancangan program khas keusahawanan dan kemahiran teknikal.
Ujarnya, program-program tersebut, diyakini akan dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi belia di kawasan bandar dan luar bandar.










