Hasmunirah idam aksi di Glasgow 2026 

Hasmunirah idam aksi di Glasgow 2026 

Hasmunirah Maliki bersama trofi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2024. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet para boling padang, Hasmunirah Maliki mengakui kejayaannya dinobatkan sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2024 telah membuatkan dirinya semakin bersemangat untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Hasmunirah menerima anugerah tersebut selepas kejayaannya muncul juara pada penampilan sulung dalam kejohanan Dunia 2024 di Ekurhuleni, Afrika Selatan Jun tahun lalu.

Atlet dari Terengganu yang beraksi di kejohanan tersebut selepas menggantikan rakannya, Jariah Zakaria mendedikasikan kejayaannya itu kepada pasukan dan dia kini dalam persiapan untuk membuat penampilan sulung di pentas Sukan Komanwel 2026.

“Hasil kemenangan ini bukan untuk diri saya tetapi pasukan boling padang para yang banyak menyokong saya dari mula hingga ke saat ini. Saya memang tak jangka sebab saya fikir calon lain lebih baik.

“Kalau terpilih ke Sukan Komanwel 2026 itu merupakan kali pertama saya menyertainya. Saya nak cuba berusaha mendapatkan pingat. Saya tak kata saya yakin tetapi saya cuba yang terbaik untuk negara di Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Hasmunirah merangkul anugerah tersebut kelmarin selepas mengetepikan saingan rakan seperjuangan termasuk Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), dan Noor Imanina Idris (para olahraga).

Selaku penerima anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2024 Hasmunirah meraih piala, piala iringan, sijil serta hadiah wang tunai RM20,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×